Monday, June 6, 2011

Akhirnya kita tahu kenapa Ani Arope berhenti

Diharap suatu masa nanti Tan Sri Hassan Merican juga akan bersuara menceritakan kepada kita semua apakah sebabnya beliau meninggalkan Petronas...

TEMERLOH, 6 JUN: 15 tahun yang lalu, Tan Sri Ani Arope mengejutkan seluruh negara dengan tindakan beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Akhirnya rakyat hari ini tahu bahawa peletakan jawatannya dilakukan demi menjaga kepentingan mereka, kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Ramai yang menganggap (pengunduran Ani) sebagai satu tindakan biasa seorang staf yang meletakkan jawatan, mungkin faktor umur atau prestasi kerja.

"Hari ini, kita tahu ianya adalah kerana sikap tegasnya dalam membantah perjanjian yang sangat tidak adil antara TNB dan IPP (pengeluar bebas kuasa elektrik),” kata Tuan Ibrahim hari ini.


Ani sebelum ini di laman Facebooknya menyelar tindakan kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik baru-baru ini sebanyak 7 peratus 1 June yang lalu dengan mendakwa ia berpunca daripada perjanjian yang tidak adil dengan IPP dan TNB.

“Anda tidak perlu pergi ke sekolah bisnes yang canggih untuk memahami mengapa kita memerlukan peningkatan tarif – Cuma perlu tengok balik syarat-syarat yang diberikan kepada IPP.

"Dengan fasal ambil-dan bayar, dan dengan 40 peratus rizab berlebihan yang kita ada hari ini, satu pihak hanya perlu menghasilkan setengah keupayaan pihak lain dan dibayar 80 sen dengan kapasiti dipersetujui.

“Bagus EPU — Unit Penyamun Ekonomi,” tulis beliau di laman Facebooknya minggu lalu.

Ani mencetuskan kontroversi 15 tahun yang lalu apabila beliau lebih rela melepaskan jawatan beliau daripada menandatangani perjanjian berat sebelah, yang melihat penciptaan generasi pertama IPP, seperti YTL Power Services, Powertek dan Malakoff semasa pentadbiran Mahathir.
Ani turut berkata TNB tidak boleh dipersalahkan atas hal ini kerana mereka tidak mempunyai
kuasa untuk mengawal harga yang perlu dibayar kepada IPP.

“TNB ialah budak belasahan. TNB tidak mempunyai kawalan harga yang ia perlu bayar kepada IPP. Pergi kepada punca masalahnya,” katanya.

Kata Tuan Ibrahim, yang juga merupakan bekas Naib Presiden PAS, apa yang dibimbangi Ani kini menjadi kenyataan apabila kerajaan Barisan Nasional berdolak-dalih untuk menyemak semula perjanjian dengan IPP yang sangat tidak adil walaupun didesak pelbagai pihak.

“Kerajaan tidak sanggup bertegas memotong subsidi sebanyak RM19 billion untuk IPP berbanding tindakan mereka memotong subsidi ke atas keperluan rakyat.

"Hari ini rakyat merasa bangga di atas ketegasan Tan Sri Ani Arop menentang dasar yang tidak adil ini. Syabas dan tahniah di atas pengorbanan beliau dalam menentang kemungkaran ekonomi yang dibuat tangan Umno Barisan Nasional ini,” tambah Tuan Ibrahim.

Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak tujuh peratus bermula Jun 1 itu adalah sebagai langkah mengurangkan subsidi yang dikatakan semakin menghauskan perbendaharaan negara.

Ia ekoran keputusan kabinet untuk menaikkan harga gas asli kepada RM3 mmBTU setiap enam bulan, dari RM10.70 juta unit termal British (mmBTU) kepada RM13.70 mmBTU sehingga mencapai paras pasaran menjelang 2016.


Harakahdaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails