Wednesday, June 29, 2011

Ahli UMNO ganggu aktivis PSM diluar Balai?

Kira-kura 40 penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang 'berkhemah' di luar balai polis Kepala Batas malam semalam diganggu oleh kumpulan yang tidak dikenali tetapi mendakwa diri mereka sebagai penduduk kampung di sekitar kawasan itu.

Penyokong parti PSM itu termasuk ahli keluarga mangsa yang ditahan reman selama tujuh hari atas dakwaan cuba mencetuskan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Mereka berkumpul seawal jam 11.30 pagi semalam tetapi dinafikan hak untuk melawat oleh polis.


Antara yang ditangkap itu termasuk ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Choo Chon Kai dan 27 aktivis lain.

Semua mereka dicekup di pondok tol Sungai Dua ketika dalam perjalanan ke Pulau Pinang Ahad lalu bagi menghadiri sebuah majlios yang bertema "Udahlah...Bersaralah" yang dianjurkan parti itu.

Mereka dikenakan perintah tahan reman sehingga 2 Julai ini tetapi peguam tahanan itu cuba membuat semakan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini pada jam 2.30 petang.

“Penduduk kampung” yang dianggarkan kira-kira 100 orang itu muncul pada jam 9 malam dan menuntut penyokong PSM supaya segera meninggalkan kawasan itu kerana tidak mahu melihat sebarang 'huru-hara'.

Kumpulan itu menafikan mereka terbabit dengan sebarang parti politik tetapi enggan mendedahkan siapa pemimpin mereka.

Mereka datang dengan menaiki kereta dan motorsikal tetapi berjaya disuraikan oleh kira-kira 50 anggota polis kira-kira 30 minit kemudian.

Pada satu ketika, apabial ketegangan memuncak, setiausaha agung PSM S Arutchelvan dan Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu V Selvam terpaksa mendapatkan perlindungan daripada polis.

Selvam kemudiannya mempersalahkan polis kerana 'memaksa' kumpulan PSM itu berkumpul secara tidak sah.

"Mereka tidak benarkan kita masuk balai polis dan minta kita tunggu di jalan raya di luar balai,” katanya kepada Malaysiakini.

"Ada kawasan letak kereta yang luas di luar balai polis tetapi mereka juga tidak benarkan kita tunggu di sana, jadi kita terpaksa berkumpul di tepi jalan,” katanya.

Arutchelvan pula mendakwa kumpulan penunjuk perasaan itu cuba menghasut penyokong partinya supaya bergaduh.

Dakwanya penganjur penunjuk perasaan besar kemungkinan mahu melihat pergaduhan tercetus.

"Kita tidak mahu diheret dengan isu lain sebab itu kita berundur,” katanya sambil menambah perkara itu akan diadukan kepada ketua polis Pulau Pinang hari ini.

Keluarga mangsa tahanan kemudiannya diiringi oleh beberapa anggota PAS yang membawa mereka ke kampung tersebut untuk bermalam dan dilindungi daripada kumpulan penunjuk perasaan itu.

Sementara itu, seorang anggota PAS dari Kepala Batas Abu Muaz (kiri) berkata beliau mengenal-pasti penunjuk perasaan itu adalah ahli Umno kerana mereka tinggal di kawasan yang sama.

Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails