Saturday, May 7, 2011

Utusan penyambung Fitnah Blogger UMNO?


Utusan sekali lagi bertindak melampui batas,mereka kini telah menghempas tanggungjawab selaku pengamal media demi tunduknya mereka kepada adikuasa. Amat malang bagi rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan apabila saban hari disogok dengan berita fitnah dan hasutan.- Admin anwaribrahimblog.com

Suatu masa lalu, bila Malaysia Today sering menyerang salahlaku atau tindakan tidak bermoral pemimpin-pemimpin dari UMNO/BN biarpun dengan disertakan dokumen bagi menyokong dakwaannya, Raja Petra tetap dikatakan melemparkan fitnah kepada Kerajaan.


Kata beberapa pemimpin UMNO/BN, laporan dari Blog-blog ataupun Website tidak boleh dipercayai..dan ada pula pemimpin UMNO/BN yang membuat kenyataan bahawa dari 100% artikel Raja Petra itu hanya 40% yang benar, mereka menafikan semua tuduhan itu.

Kini dunia mula terbalik.. Utusan atau Lidah Rasmi UMNO cuba memperbodohkan rakyat dengan menyiarkan cerita rekaan dari blog-blog Pro-UMNO atau Utusan kini menjadi penyambung Fitnah BloggerPro UMNO pula..

Fitnah atau cereka ini jelas hanya untuk menimbulkan perasaan syak wasangka sesama kaum di bumi Malaysia ini, bila syak wasangka sudah tertanam didalam hati masyarakat Malaysia,Maka adalah mudah untuk menjalankan agenda pecah dan perintah pula..

Baca artikel ari LIdah Rasmi UMNO ini dan juga baca apa Kenyataan Media Bersama dari Pemimpin Pakatan Rakyat dibawah..

Malaysia negara Kristian?

PULAU PINANG 6 Mei - Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister di sini sebagai tetamu.

Majlis pertemuan paderi-paderi berkenaan dan ikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua laman blog hari ini iaitu 'bigdog' di http://bigdogdotcom menerusi entri bertajuk 'Making Christianity the official religion? dan blog Marahku di http://marahku.

Jeff yang ditanya mengenai ikrar itu mendakwa, ketika majlis berlangsung, beliau sibuk 'melayan' iPad selain menjamu selera walaupun turut bertafakur semasa paderi-paderi itu berdoa.

"Bukankah berdoa itu suruhan tuhan. Apa yang saya tahu, 'bigdog' (penulis blog) tidak sebut nama saya, dia tidak tuduh saya. Kalau mahu tahu lebih lanjut, sila tanya polis Cawangan Khas dan dengar rakaman yang dibuat mereka," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, majlis makan malam yang dihadiri lebih 100 paderi Kristian itu diadakan di sebuah hotel di sini semalam yang kemudiannya disusuli dengan beberapa konvensyen hari ini.

Malam ini pula akan diadakan satu majlis di Pusat Kristian (Katolik) Pulau Pinang di sini dan satu ceramah perdana pula dianjurkan esok. Pertemuan itu dikatakan dianjurkan setiap tahun.

Dalam majlis makan malam itu, seramai 35 orang paderi dikatakan berdiri dalam bulatan dan saling berpegangan tangan tanda bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian dan mahu Perdana Menteri juga dalam kalangan penganut agama itu.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di hotel yang terletak di Jalan Burmah mendapati persidangan sehari itu yang bermula pukul 8.30 pagi berlangsung di Bilik 2 dan 3, tingkat 7 hotel itu.

Kira-kira 10 meja dan kerusi disusun di luar bilik persidangan yang dikatakan diadakan setiap tahun dengan beberapa rahib dilihat berbual-bual sebelum masing-masing masuk ke dalam bilik persidangan.

Kenyataan Jeff itu bagaimanapun berbeza dengan laporan blog 'bigdog' yang mendakwa majlis itu dianjurkan oleh kawasan Parlimen DAP dipercayai Jelutong dan turut dihadiri oleh kira-kira 100 yang lain termasuk wakil rakyat parti itu dari Sarawak dan beberapa pekerja parti.

"Apa yang dilakukan DAP adalah sesuatu yang sangat berbahaya. DAP membawa strategi politik cauvinis mereka ke satu tahap perubahan dan sensitiviti yang sangat tinggi," dakwa blog berkenaan.

Blog tersebut menambah, sebagai satu komuniti minoriti, cita-cita DAP itu jelas membuktikan mereka cuba bertindak sebagai kaum majoriti.

"Ini merupakan lembaran baru dalam politik yang mana kaum minoriti memainkan peranan sebagai kaum majoriti di samping strategi cauvinis DAP menyemai politik kebencian. Sesuatu yang pasti ia bergerak pada landasan yang sangat berbahaya," dakwa blog itu.- Lidah Rasmi UMNO.



KENYATAAN AKHBAR
8 September 2008

PAKATAN RAKYAT MENJUNJUNG PRINSIP PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang pada hari ini 8 September 2008 dengan ini menegaskan penolakan kami terhadap usaha-usaha menyemarakkan politik perkauman yang sedang dilakukan oleh UMNO akhir-akhir ini. Kami amat bimbang isu ini sekarang digunakan untuk mengelabui pandangan rakyat yang sebenarnya merupakan usaha terdesak untuk menyelamatkan kepentingan segelintir golongan elit politik dan kroni mereka.

Kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan ini kami menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit yang menjadi dasar UMNO-BN. Pendekatan inilah yang sengaja digunakan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

Sehubungan ini kami membantah ucapan yang dibuat oleh Dato Ahmad Ismail yang disokong oleh semua pemimpin UMNO Pulau Pinang. Isi ucapan itu mencerminkan dasar perkauman UMNO yang sebenarnya bertujuan hanya untuk mempertahankan kepentingan segelintir golongan orang kaya Melayu serta suku sakat mereka yang menggunakan kuasa politik untuk mengambil kesempatan mengaut kekayaan negara dengan berselindung di sebalik membela kepentingan Bumiputera dan orang
Melayu.

Sekian, terima kasih.

Y.B. DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Y.B. LIM KIT SIANG
Ketua Ahli Parlimen
Democratic Action Party (DAP)

Y.B. DATO’ SERI HJ. ABDUL HADI AWANG
Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Berikut link format PDF:

Joint Statement BM 8-9-08-1

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails