Saturday, May 14, 2011

Tiada tindakan pada Utusan bukti Umno terlibat

Keengganan mengambil tindakan terhadap cetusan berbahaya Utusan Malaysia menunjukkan Umno terlibat secara langsung dengan laporan itu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Akhbar itu baru-baru ini mengapi-apikan kemarahan orang-orang Melayu mengenai apa yang didakwanya sebagai rancangan menjadikan Malaysia negara Kristian.

"Baru-baru ini, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohamad Hata Wahiri berkata, agenda mingguan akhbar Utusan Malaysia ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin oleh Presidennya yang juga Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).


"Sebab itulah Perdana Menteri dan kabinetnya tidak mahu mengambil tindakan tegas terhadap Utusan kerana kalau tindakan diambil, tindakan dikenakan ke atas diri mereka sendiri," katanya.

Mahfuz juga mempersoalkan sikap polis yang seolah-olah membutakan mata terhadap tindakan Utusan yang boleh mencetuskan rusuhan antara kaum di negara ini itu.

"Laporan Utusan itu mengancam keselamatan semua rakyat, Islam dan bukan Islam. Mengapa polis seolah-olah membutakan mata?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Sikap polis itu, katanya, akan menguatkan lagi tuduhan sebahagian besar rakyat bahawa polis hakikatnya berkhidmat untuk kepentingan Umno.

"Bila Suara Keadilan siarkan berita Felda mungkin bankrap, begitu pantas Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan menggantung permit akhbar itu.

"Tetapi bila Utusan siarkan berita tanpa bukti mengenai kononnya Kristian hendak dijadikan agama rasmi yang jelas boleh mencetuskan rusuhan antara agama dan kaum, Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) bukan sahaja tidak mengambil tindakan, malah memberi respon yang dilihat menyokong perbuatan Utusan itu.

"Begitu juga dengan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri) Jamil Khir (Baharom). Dia juga memberikan komen yang menambah nilai terhadap laporan fitnah Utusan itu. Orang lantik jadi menteri suruh jaga (hal ehwal) Islam, dia buat komen yang cemarkan nama Islam dan umat Islam," kata Mahfuz.

Jika para pemimpin Umno yang mengatur agenda Utusan Malaysia mempunyai maruah, katanya, mereka sepatutnya meletakkan semua jawatan dalam kerajaan.

"Sebagai pemimpin kerajaan, mereka sepatutnya menjaga keselamatan negara. Tetapi, sebaliknya merekalah yang dilaporkan mengatur agenda akhbar yang menyiarkan berita fitnah yang boleh mencetuskan rusuhan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 dahulu.

"Bukan sekali Utusan menyiarkan berita berunsur perkauman yang boleh mengapi-apikan rusuhan, sudah banyak kali dan kini ia didedahkan sebagai agenda para pemimpin Umno oleh bekas wartawan kanan Utusan sendiri," katanya.

Sehingga kini, para pemimpin kanan Umno yang berkenaan tidak menafikan laporan bahawa merekalah yang mengatur agenda Utusan yang berulang kali mengapi-apikan isu-isu yang boleh mencetuskan rusuhan antara kaum dan agama.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails