Wednesday, May 25, 2011

Takut kalah Pilihanraya.. Sebab itu minyak tak naik harga..

SHAH ALAM 25 MEI : Tindakan kabinet menangguhkan keputusan berkaitan pelarasan subsidi dan kajian semula tarif elektrik dilihat berkait rapat dengan masa depan UMNO BN pada pilihan raya umum ke- 13 akan datang.

Mesyuarat kabinet yang menjadi tumpuan pelbagai pihak hari ini tidak mencapai apa- apa keputusan yang menguatkan lagi spekulasi bahawa kerajaan pemerintah pimpinan Najib Razak bimbang popularitinya merudum dan ditolak rakyat pada saat- saat akhir.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata kabinet juga makin tertekan apabila tindakan mengurangkan subsidi membangkitkan kemarahan rakyat marhaen.


"Jadi oleh kerana keputusan Najib ini dibantah apabila datang PRU, sudah tentu barisan kepimpinan Najib akan ditumbangkan dan sebab itulah dia membuat perkiraan semula," katanya.

Dr Dzulkefly berkata Najib tersilap langkah apabila memotong subsidi yang selama ini membantu meringankan beban rakyat walhal beliau jelas dengan fenomena kenaikan harga barangan asas yang tidak seiring dengan kenaikan gaji golongan bawahan ini.

"Antara cabaran besar dalam PRU-13 adalah kenaikkan harga barang dan kos sara hidup yang terus meningkat, sementara pendapatan golongan berpendapatan rendah tidak ada pun kenaikkan," katanya.

Baru- baru ini, kerajaan pemerintah bertindak memotong subsidi gula kepada rakyat hanya untuk menjimatkan sejumlah RM116.6 juta.

Tindakan itu dikecam pelbagai pihak termasuk Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisyam Shaharin. Beliau berkata, kerajaan tidak perlu memotong subsidi gula untuk membolehkan kerajaan berjimat- cermat. Tetapi, kerajaan harus berhemah dalam menangani ketirisan pengurusan ekonomi negara antaranya projek mega yang tidak memberi keuntungan jangka masa panjang kepada negara.

Antaranya, projek Zon Bebas Perlabuhan Klang (PKFZ), projek Menara Warisan Merdeka, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), projek Empangan Bakun dan sebagainya.

Tidak reda isu pemotongan subsidi gula, rakyat sekali lagi 'disergah' Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Ismail Sabri bahawa rakyat harus bersedia untuk kenaikan harga bahan bakar RON95.

Mengulas isu itu, Dr Dzulkefly yang dihubungi TV Selangor berkata, alasan kerajaan pemerintah bahawa kenaikan itu perlu berikutan kenaikan harga bahan bakar itu dipasaran global tidak masuk akal.

Ini kerana, Malaysia, meskipun bukan negara pengeluar utama atau tercorot, tetap memiliki sumber minyak tersendiri dan tidak perlu terlalu mengikut rentak pasaran dunia.

Beliau turut membidas kenyataan Najib yang menyamakan pemberian subsidi seperti memberi 'candu' kepada rakyat.

Najib berkata demikian ketika berucap di Pusat Pengajian Islam di Oxford 17 Mei lalu dan berjanji akan mengurangkan 'candu' itu secara berperingkat.

"Jangan tuduh rakyat ini ketagihan candu subsidi sebab apa? kalau tahu benda tu haram kenapa mulakan dulu? Maknanya bukan haram bukan ketagihan tapi satu dasar polisi sebuah kerajaan yang kena buat keputusan," ujarnya.

Beliau menambah, jika kerajaan pemerintah tetap enggan memberikan subsidi kepada rakyat, perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan, elektrik, air sepatutnya berada ditahap yang cemerlang dan mesra kepada rakyat.


TVS News

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails