Wednesday, May 4, 2011

Rosmah Wanita Contoh?


ISTANBUL: Datin Seri Rosmah Mansor adalah contoh terbaik bagi wanita khususnya kepada isteri-isteri pemimpin dunia, kata Irene Natividad, Presiden Sidang Kemuncak Wanita Global 2011.

“Saya melihat Wanita Pertama anda seorang tokoh yang baik untuk dicontohi, dan sebab itu, kami menjemput beliau untuk menyampaikan ucap utama,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini menjelang sidang kemuncak itu yang akan berlangsung di sini dari Khamis hingga Sabtu.


Natividad berkata beliau pernah membaca satu ucapan Rosmah mengenai peranan wanita dan berpendapat bahawa isteri Perdana Menteri Malaysia itu adalah orang yang sesuai untuk berucap pada sidang kemuncak berkenaan.

“Lantas, saya menghantar undangan dan saya amat gembira kerana beliau bersetuju menerimanya,” kata beliau.

Natividad berkata sebagai Wanita Pertama, mereka harus memahami peranan penting mereka yang memberi impak besar terhadap kehidupan rakyat di negara masing-masing menerusi cara yang berbeza daripada kerajaan.

“Saya mahu rakyat juga dapat memahami peranan istimewa ini,” katanya.

Seramai 1,000 peserta dari 81 negara dijangka hadir pada sidang kemuncak tahunan itu.

Ia bertujuan membolehkan tokoh-tokoh penting serta pemimpin-pemimpin negara membincangkan serta menggariskan hala tuju, strategi dan program untuk kemajuan wanita dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.

Selain menyampaikan ucap utama, Rosmah juga akan menjadi anggota panel Forum Wanita Pertama yang akan berlangsung pada Jumaat. Dua lagi anggota panel ialah isteri Perdana Menteri Turki, Emine Erdogan, dan Wanita Pertama Namibia, Penehupifo Pohamba.

Hari ini, Rosmah diberi penghormatan membunyikan loceng permulaan sesi urus niaga di bursa saham Istanbul.

- Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails