g

Tuesday, May 17, 2011

RON95 disemak bulan depan.. cakap sajalah Naik..

Kerajaan akan mengkaji semula semua harga produk petroleum termasuk petrol RON95 bulan depan bagi menentukan harga sedia ada akan kekal atau sebaliknya, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata kajian semula oleh kementerian itu bersama-sama agensi lain seperti Kementerian Kewangan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) akan menentukan sama ada harga sedia ada kekal atau dinaikkan berdasarkan tanggungan subsidi kerajaan.


"Mengikut pelan Rasionalisasi Subsidi, satu kajian semula akan dibuat enam bulan sekali terhadap subsidi semua produk. Jadi untuk petrol RON95, diesel dan LPG (gas cecair asli) kajian terakhir dibuat pada Disember tahun lepas.

"Ini bermakna bulan ini atau awal Jun akan berlaku kajian semula untuk pertengahan tahun...saya tidak boleh memberi gambaran apa yang akan berlaku, tetapi kajian akan berlaku dan tanggungan subsidi oleh kerajaan adalah tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Ipoh Barat di Ipoh hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan semasa harga petrol RON95 berikutan harga petrol RON97 kini meningkat kepada RM2.90 seliter.

Harga RON97, yang diapungkan mengikut harga pasaran minyak semasa, naik 20 sen ke RM2.70 seliter pada 2 April lepas ekoran krisis Timur Tengah manakala kali terakhir harga RON95 naik adalah pada Disember tahun lalu iaitu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.

Ismail Sabri berkata walaupun sebelum ini beliau berkata harga minyak tidak dinaikkan pada masa sekarang, tetapi ia tidak menjamin harga minyak akan kekal selama-lamanya kerana tanggungan subsidi kerajaan terhadap produk petroleum pada masa sekarang adalah tinggi.

"Tahun lepas, tanggungan subsidi kerajaan (bagi produk petroleum) adalah RM8 bilion apabila harga minyak dunia meningkat, dan tidak nampak trend itu akan menurun. Kalau keadaan itu berterusan, tanggungan subsidi kerajaan akan menjadi RM18 bilion tahun ini iaitu kenaikan RM10 bilion," katanya.

Beliau berkata sekiranya subsidi dikurangkan, jumlah peruntukan RM10 bilion itu dapat digunakan bagi membina lebih banyak sekolah, jalan-jalan kampung, projek perumahan rakyat serta memberi lebih banyak bantuan pelajaran.

Katanya rakyat perlu sedar jumlah subsidi besar yang ditanggung kerajaan sepatutnya dibelanjakan untuk projek yang lebih memberi manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat.


Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails