Monday, May 30, 2011

PAS Cukup Kuat, Anwar Bukan Faktor

SHAH ALAM 30 MEI: Reputasi dan kredibiliti pimpinan yang menjadi tunjang dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang merupakan antara parti terawal di Malaysia, tidak mudah dipengaruhi atau diganggu gugat oleh elemen luar, menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Ini kerana, ketokohan dan disiplin yang diterapkan dalam jiwa setiap ahli parti itu menjadikannya sebagai sebuah entiti yang matang dan tidak gentar dilanda badai.

Meskipun bergabung di bawah satu nama yang menyatukan parti tersebut bersama PKR dan DAP di bawah satu wadah perjuangan yang sama, namun menurut Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang, masing-masing menghormati sejarah perjuangan setiap parti terutama PAS, yang jauh lebih berpengalaman.


Kenyataan Saifuddin itu sekaligus menyangkal dakwaan bahawa PKR dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebagai faktor wujudnya pembahagian puak dalam PAS seperti yang dibangkitkan pihak pro Umno-Barisan Nasional mutakhir ini.

"Suatu parti (PAS) yang matang tidak boleh dipengaruhi mana-mana elemen yang dikaitkan dengan elemen luar apatah lagi dengan pengaruh Anwar Ibrahim.

"Tidak pernah menjadi amalan Anwar atau parti Keadilan sendiri untuk campur tangan dalam urusan rumah tangga parti lain," kata Saifuddin ketika dihubungi Tv Selangor.

Menjelang Muktamar PAS ke-57 hujung minggu ini, media pro Umno-BN dilihat sering kali menuding jari ke arah Anwar dan PKR sebagai faktor wujudnya puak 'erdogan' dalam parti yang ditubuhkan sejak 31 Mei 1955 itu.

Malah ada pihak yang turut berani mempersoalkan tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan Ketua Pembangkang dari tuduhan liwat kedua dan rakaman video seks selain menyifatkan beliau meletakkan PAS dalam bahaya.

PAS sebelum ini menolak tanggapan kononnya wujud dua kumpulan dalam barisan kepimpinan parti Islam itu yakni persaingan antara pihak pro Anwar dengan golongan ulama yang dilihat ‘berpengaruh’.

Malah PAS menegaskan yang wujud hanyalah kelainan pendekatan yang digunakan untuk mendapatkan sokongan ahli dan rakyat dalam parti itu.

Saifuddin kemudiannya menegaskan bahawa asas penubuhan yang didokong setiap parti komponen dalam Pakatan Rakyat juga berbeza, sekaligus tidak mengganggu atau mempengaruhi perkembangan setiap parti.

Jelasnya lagi, fokus utama Pakatan Rakyat adalah untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN yang semakin tidak relevan kepada masyarakat majmuk negara ini termasuk menjaga kepentingan bersama.

"Asas kerjasama dalam Pakatan Rakyat ialah Barisan Nasional adalah musuh utama. Jadi kita tidak bercakap asas parti. Mustahil parti PAS, DAP dan Keadilan boleh disatukan dengan polisi yang sama.

"Tetapi atas nama Pakatan Rakyat kita ada satu persamaan iaitu musuh kita yang satu (BN) dan kita memperjuangkan prinsip keadilan sejagat. Jadi siapa pun kepimpinan yang dipilih oleh PAS, saya yakin kerjasama dalam Pakatan Rakyat akan hanya diperkuatkan dan tidak akan terjejas sama sekali," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, calon Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kecaman media terutama akhbar Utusan Malaysia mengenai ulasan Nik Aziz terhadap pemfitnah Anwar perlu diabaikan.

Ini kerana menurut beliau laporan yang disiarkan hanya bertujuan untuk memburukkan imej penasihat parti itu.

"Tidak perlu komen sebab (laporan) seperti tidak siuman. Tak perlu ulas," katanya.


TVS News

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails