Sunday, May 29, 2011

Himpuan Sejuta Belia : Najib Syok Sendiri..

TEMERLOH 29 MEI : Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumpulkan belia di Putrajaya untuk meraih undi mereka memperlihatkan rasa gusar beliau terhadap kebangkitan golongan itu bagi menuntut perubahan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Najib semalam mendakwa sejuta belia yang dibawa ke Putrajaya untuk sambutan Hari Belia Negara selama tiga hari, hadir kononnya untuk “mempertahankan” pusat pentadbiran negara dari diambil alih oleh pembangkang.

Hakikat ialah persatuan-persatuan belia itu dibawa untuk mengisi pelbagai program riadah yang dianjurkan bersama oleh agensi-agensi persekutuan dan badan-badan koperat sempena Hari Belia Negara.


Anwar malam tadi mengupas ucapan Najib di majlis sambutan Hari Belia itu yang dialas dengan gesaan supaya belia menyokong Umno-BN sebagai syarat menikmati kemakmuran.

Kenyataan sedemikian, kata Anwar hanya menunjukkan rasa terdesak Perdana Menteri.

Berucap kepada lebih 10,000 peneroka Felda dan penduduk kampong di Kerdau, Pahang semalam, Anwar berkata Najib tersilap membaca gerak hati anak muda.

“Dia kata di Mesir satu juta orang muda tuntut perubahan. Jadi di sini dia minta orang muda sokong Barisan Nasional.

“Orang muda ini dikaitkan dengan idealisme, cita-cita murni. Orang muda ini benci dengan kemungkaran, benci dengan rasuah, benci dengan kezaliman.

“Najib silap. (Sebenarnya belia) yang minta perubahan tumbangkan kerajaan yang ada. Jadi saya nak sambut dengan katakan sudah sampai ketikanya anak muda Felda, anak muda Malaysia bangkit tuntut perubahan,” kata Anwar.

Anwar menegaskan perubahan itu amat perlu kerana kerajaan yang ada sekarang mengharapkan kepada pengitaran fitnah semata-mata untuk menarik sokongan bagi mengekalkan kuasa.

Anwar berkata beliau tidak menuduh Umno sebagai parti yang tidak pernah membuat apa-apa. Namun yang dipersoalkan adalah kemungkaran dan kezaliman yang menyebabkan rakyat menderita manakala pemimpin hidup dalam keadaan kaya-raya.

"Saya tidak samakan Umno dengan Firaun, Firaun pun buat bangunan dan jalan, negara komunis, Zimbabwe, mahupun Bangladesh pun buat pembangunan, soalnya kita ini mahu nilai apa kekurangan besar yang membolehkan sebuah perubahan kuasa itu perlu."

Anwar mengajak rakyat supaya merenung hala tuju negara di bawah pemerintahan Umno-BN dan tidak termakan serta mudah terperdaya dengan dakyah dan gula-gula politik yang disebarkan parti itu.

"Saya tidak pertikai hak sesiapa untuk sokong parti mana-mana, tetapi kita sanggupkah pertahankan kezaliman, bolehkah kita diam tentang rasuah, mampukah kita biarkan fitnah, lucah termasuk qazaf dan semulanya berlaku?” tanya Anwar.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Sabu, Ketua Serikandi Siti Aishah Shaik Ismail dan Presiden ANAK, Mazlan.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails