Tuesday, May 24, 2011

Harga minyak akan dinaikkan minggu ini...

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan langkah rasionalisasi subsidi termasuk penyelarasan harga petroleum minggu ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menyediakan kaedah paling sesuai untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan itu.

"Tunggulah (pengumuman) dalam masa seminggu ini...kita akan membuat keputusan sama ada ingin meneruskan subsidi petrol, diesel dan gas memandangkan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan terus meningkat dari RM8 bilion kepada RM18 bilion," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai spekulasi kerajaan akan mengkaji semula harga produk petroleum termasuk petrol RON95.


Ismail Sabri berkata kerajaan berpandangan wang yang diguna untuk menanggung subsidi sepatutnya dibelanjakan untuk projek yang lebih memberi manfaat kepada rakyat seperti membasmi kemiskinan dan menyediakan perumahan rakyat.

Terdahulu, Ismail Sabri merasmikan Karnival Koperasi Wilayah Persekutuan 2011 yang berlangsung selama tiga hari di Medan Tunku, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, Isnin.

Harga petrol RON95 kini RM1.90 seliter berbanding harga petrol RON97 yang meningkat kepada RM2.90 seliter selepas diapungkan mengikut harga pasaran minyak semasa.

Pada 16 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan tahun ini akan meningkat sekali ganda berbanding tahun lepas iaitu daripada RM10.3 bilion kepada RM20.58 bilion berikutan kenaikan harga minyak dunia. - BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails