Sunday, May 1, 2011

Bila masa pulak PAS nak sertai BN ni?

MELAKA, 1 Mei — Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menutup pintu menyertai Barisan Nasional (BN) kepada PAS kecuali ia sanggup menggugurkan prinsip-prinsip negara Islamnya terlebih dahulu.

Dr Chua (gambar) berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedar bahawa partinya tidak akan menerima PAS menukar Malaysia menjadi sebuah negara Islam.

“Pendirian MCA adalah sangat jelas bahawa kami tidak akan menerima PAS dalam usaha mereka menjadikan negara ini negara Islam. Kami tidak akan menerima yang itu dan Perdana Menteri juga memang sedar akan pendirian MCA ini,” kata beliau.

“Mereka boleh menyertai BN jika mereka sanggup menggugurkan dasar menjadikan negara ini sebagai negara Islam,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.


Semalam, Najib berkata PAS patut keluar Pakatan Rakyat jikapun tidak memutuskan untuk tidak menyertai BN.

Sehubungan itu Perdana Menteri mendakwa PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam Pakatan Rakyat, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada DAP.

Najib (gambar bawah) berkata, pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini misalnya, PAS telah bekerja keras, sebaliknya DAP yang dilihat meraih kejayaan daripada usaha keras mereka itu.

“Kita lihat poster di sini (Terengganu) “PAS ganti Umno”, realitinya “DAP ganti PAS”, di Sarawak (pilihan raya negeri 16 April lepas), PAS berkempen berhempas pulas, akhirnya, yang untung, DAP,” kata beliau.

“PAS, cukuplah dalam Pakatan Rakyat, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN pun tak apa, tetapi keluarlah dari Pakatan,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Pulau Duyong.

Selain itu, Najib yang juga Presiden Umno dilaporkan mempelawa PAS agar menyertai BN dengan berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?

“Hadi, cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia dekat Kuala Terengganu.

Bagaimanapun hari ini Dr Chua menegaskan, MCA tidak akan menghalang Umno dan PAS daripada mengadakan perbincangan antara satu sama lain.

“Baik, ia adalah baik bagi perpaduan orang Melayu dan Muslim, tiada masalah jika mahu berbincang. Kita tidak boleh menghalang orang daripada berbincang.

“Perdana Menteri dan Umno sangat menyedari tetapi jika mereka mahu bertemu tiada masalah untuk mengadakan pertemuan,” kata Dr Chua sambil menambah, dalam negara demokratik, mana-mana pihak boleh mengadakan pertemuan dari dari semasa ke semasa mengenai perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama.

Pelawaan Najib semalam muncul kira-kira seminggu selepas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia melontarkan idea mengenai gerakan “1Melayu, 1Bumi” iaitu kempen untuk menyatukan orang Melayu kononnya bagi mengekang politik perkauman dibawa DAP.

Pelawaan Najib itu bagaimanapun ditolak oleh pemimpin-pemimpin PAS.

Membalas kenyataan Najib itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyeru ahli-ahli dan pemimpin Umno supaya meninggalkan parti teras BN itu untuk menyertai PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan bagi semua kaum.

“Jika benar Umno hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada di tangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?” kata beliau dalam satu kenyataan.

Selain Hadi, semalam pemimpin-pemimpin kanan PAS yang lain, antaranya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden Salahuddin Ayub juga menolak bulat-bulat pelawaan Najib.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails