Sunday, May 22, 2011

Bagaimana PERKASA tahu kereta disabotaj?

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan bagaimana Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dapat mengetahui mengenai kerosakan yang berlaku kereta yang dinaiki anggota keluarganya – berbulan-bulan sebelum insiden berkenaan berlaku.

Anwar berkata, PERKASA perlu menjelaskan laporan polis yang
dibuat pada 11 Februari lalu berhubung kebimbangan bahawa ketua pembangkang itu akan melakonkan satu kemalangan jalan raya.

Ketua pembangkang itu berkata, PERKASA kini perlu tampil dengan penjelasan ekoran ancaman yang diterima oleh isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan juga anaknya Nurul Izzah.


Dalam temubual dengan Malaysiakini minggu lalu, Anwar bagaimanapun berkata, beliau tidak menuduh PERKASA sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas dakwaan sabotaj berkenaan.

Isnin lalu, bekas ketua pemuda PERKASA, Armand Azha Abu Hanifah pula ketika dihubungi berkata beliau membuat laporan polis berkenaan selepas mendapat maklumat bahawa Anwar dan beberapa pemimpin PKR didakwa merancang untuk mengadakan kemalangan berkenaan bagi meraih simpati.

Armand juga berkata, PKR didakwa berbuat demikian bagi membolehkan Anwar – yang diperintah oleh mahkamah supaya membela diri berhubung kes Liwat II – dibawa keluar ke negara lain bagi mendapatkan suaka politik.

Armand yang juga ketua penerangan pemuda Umno Petaling Jaya Utara turut menggesa supaya pasport Anwar dserahkan kepada mahkamah.

Kata Armand lagi, beliau bimbang sekiranya Anwar akan menjadi dalang kepada mobilisasi massa dan keadaan huru-hara.

Anwar bagaimanapun berkata, beliau tidak ingin memberi reaksi kepada dakwaan yang ditimbulkan PERKASA itu kerana tidak ingin menguatkan lagi dakwan berkenaan.

Tambahnya, beliau tidak ingin membangkitkan perkara itu sebelum ini sehinggalah diberitahu bahawa kerosakan pada kenderaan Mercedes itu hanya akan berlaku jika sengaja dibuat oleh seseorang.

Anwar berkata, sekiranya dakwaan itu melibatkan elemen jenayah, polis perlu menyiasat dan tidak menutup perkara itu.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails