Tuesday, April 19, 2011

Zambri.. Masaalah Banjir di Teluk Intan bila nak selesai?


TELUK INTAN: Ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran mencabar kerajaan Barisan Nasional (BN) selesaikan segera masalah banjir yang sering melanda bandar Teluk Intan sejak sekian lama.

Dalam satu kenyataan akhbar beliau berkata masalah tersebut telah berlanjutan sejak bertahun-tahun dan sehingga kini tiada sebarang langkah jangka panjang yang diambil untuk mengatasi masalah tersebut.


“BN sering melaung-laungkan bahawa mereka adalah pembela rakyat tetapi dalam isu yang kritikal ini mereka gagal ambil tindakan untuk membendung masalah banjir yang menyusahkan penduduk setempat terutama peniaga kedai.

“Setelah saya mendapatkan nasihat daripada pakar perunding bidang pengairan dan saliran, kos untuk mengatasi masalah banjir ini ialah RM100 juta, membabitkan kerja-kerja mendalamkan sungai dan meninggikan tebing sungai.

“Sebagai kerajaan pusat yang mempunyai peruntukkan berbilion ringgit dan sering menghabiskan jutaan ringgit untuk projek yang tidak berfaedah seperti penganjuran ‘Formula One’ dan ‘Monsoon Cup’, apakah masalah besar bagi mereka untuk selesaikan masalah banjir yang saya kira lebih penting?”, tanya Manogaran.

Manoharan juga menyindir kerajaan dengan berkata bahawa sekiranya kerajaan atasi masalah banjir di Teluk Intan, beliau tidak mengharap sebarang “credit” atau penghargaan daripada mereka.

“Mungkin mereka tidak mahu laksanakan projek pencegahan banjir di Teluk Intan kerana mereka takut sekiranya projek itu berjaya maka saya yang akan dapat “credit” daripada penduduk Teluk Intan.

“Tidak mengapa jika saya tidak mendapat sebarang “credit”. BN boleh canangkan di seluruh Malaysia bahawa itu adalah projek mereka. Saya tidak kisah asalkan masalah banjir yang membelenggu penduduk Teluk Intan dapat diatasi”, kata Manogaran.

Manogaran juga membidas Umno Perak khususnya Umno Teluk Intan yang juga gagal membela nasib orang Melayu di Teluk Intan.

“ Saya juga ingin bertanya kepada Umno yang kononnya mengaku sebagai pembela bangsa Melayu tetapi kenapa mereka juga gagal untuk menangani masalah banjir yang turut melanda Kampung Bahagia dan Kampung Air Hitam yang merupakan kampung Melayu.

Melayu juga dianaktirikan

“Tidak mengapa jika tidak membantu orang bukan Melayu tetapi kenapa orang Melayu juga mereka anak tirikan? Saya minta pemimpin Umno jenguk sendiri betapa daif dan susahnya kehidupan orang Melayu di Kampung Bahagia.

“Ada seorang mak cik di Kampung Bahagia meneruskan kehidupan harian makan dengan makanan yang disedekahkan oleh jiran. Malah rumah usang beliau tidak mempunyai tandas dan beliau terpaksa kongsi tandas jiran’, keluh Manogaran.

Manogaran juga turut mendedahkan lebih 300 rumah di Kampung Kilang Beras Padi tidak mempunyai alamat dan semua surat dilonggokkan oleh posmen di sebuah rumah di dalam sebuah plastik besar.

Manogaran meminta BN mahupun Umno ketepikan fahaman politik demi kepentingan rakyat dan turun padang untuk menyelami masalah rakyat dan seterusnya mengatasi masalah tersebut.

“Jangan hanya jenguk rakyat miskin tegar ini ketika musim Hari Raya dan sekadar memberikan sumbangan kuih raya dan kain sarung,” bidas Manogaran.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails