Thursday, April 21, 2011

Video Lucah : Siasat juga kaitan Datuk 'T' dengan Video tahun 99


KUALA LUMPUR, 21 April — Seorang bekas pegawai polis kanan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dikaitkan dengan pengedaran rakaman aksi seks pada November 1999 dan oleh itu, mahu pihak berkuasa menyiasat sama ada ia ada kaitan dengan pendedahan video oleh “Datuk T” bulan lalu.

Bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumput Datuk Mat Zain Ibrahim berkata rakaman video yang pertama diedarkan beberapa hari sebelum pilihan raya umum 1999.


Oleh itu, dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Zain meminta pihak polis meneliti kaitan kedua-dua pendedahan berkenaan.

“Bukan menjadi hasrat saya mencampuri siasatan polis, namun sebagai seorang pesara polis yang berpeluang menangani isu-isu yang berkaitan dengan Anwar dan (bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul) Rahim (Thamby Chik) serta beberapa kenamaan lain ketika dalam perhidmatan, saya rasa terpanggil untuk mendedahkan maklumat-maklumat yang saya percaya dapat membantu siasatan.

“Saya dapati ada beberapa perkara mustahak yang ada hubung kait dengan siasatan isu video lucah ini, tetapi tidak diumumkan kepada rakyat yang boleh mengelirukan persepsi mereka,” katanya sambil berharap ketinggalan ini adalah disebabkan polis terlepas pandang dan bukannya dengan sengaja atau curang menyembunyikan fakta-fakta mustahak demikian.

Pengedaran pertama itu berlaku lebih setahun selepas Anwar dipecat daripada jawatan kerajaan dan parti.

Semalam, Ismail berkata, polis akan menyerahkan semula laporan kertas siasatan kes video seks yang pelakunya didakwa mirip seorang pemimpin Pakatan Rakyat kepada Pejabat Peguam Negara dalam waktu terdekat.

Bercakap kepada pemberita di Bukit Mertajam semalam, Ketua Polis Negara berkata kertas siasatan kes berkenaan yang dihantar pada minggu lepas telah dipulangkan semula oleh Pejabat Peguam Negara untuk semakan semula.

“Ada sedikit semakan yang perlu dibuat dan itu adalah perkara biasa.

“... dan kita memang mahu siasatan berhubung kes video seks itu disegerakan,” kata beliau.

Siasatan itu dijalankan selepas rakaman video seks dipertontonkan kepada wakil media terpilih 21 Mac lalu.

Dalam surat terbukanya, Zain menambah, beliau percaya sebilangan besar rakyat malahan warga polis sendiri tidak sedar dan mungkin akan terkejut bila mengetahui keujudan video seks pertama yang kononnya dikatakan melibatkan Anwar juga, yang diedarkan pada 1999.

Pengedaran video seks ini di sekitar Kuala Lumpur berlaku pada 24 dan 25 November 1999 beberapa hari sebelum pilihan raya umum ke-10 yang diadakan pada 29 November.

Katanya, terdapat dua video seks yang diedarkan serentak Iaitu satu berjudul “Siapa Anwar” manakala yang satu lagi berjudul “Skandal Seks Mat Sabu”, yang merujuk kepada Mohamad Sabu, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Zain yang pernah menjadi pegawai penyiasat kes Anwar akhir 1990-an berkata, beberapa ramai orang awam dari sekitar Kuala Lumpur yang menemui video-video ini yang dikatakan ditinggalkan di hadapan rumah atau pejabat atau lain-lain premis, tampil membuat laporan masing-masing dan menyerahkan video-video berkenaan kepada polis.

“Saya sendiri telah melihat video-video tersebut sekurang-kurangnya dua kali. Pertama kali adalah bersama dengan beberapa Pegawai Kanan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur bagi menentukan klasifikasi penyiasatan yang betul.

“Kali kedua bersama mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu, di pejabat KJSJ setelah Tan Sri Datuk Bandar terbaca berita mengenai edaran video ini di akhbar,” katanya lagi.

Zain juga berkata, siasatan polis ketika itu berjaya mengesan dan mengenal pasti “sumber” video seks pertama 1999 tetapi gagal untuk mengenal pasti orang atau orang-orang yang bertanggungjawab dengan pengedarannya kepada umum.

“Namun begitu pengedarannya dipercayai bermotifkan politik bersandarkan ia dibuat beberapa hari sahaja sebelum pilihan raya umum ke-10.

“Sepanjang yang saya ingat tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab mengedarkan video seks berkenaan,” katanya lagi dalam surat kepada Ismail bertarikh 18 April ini.

Beliau beberapa menghantar surat terbuka berkaitan kes Anwar sebelum ini.

Beliau menambah, memandangkan kumpulan yang menggelar diri mereka “Datuk T” — terdiri daripada Rahim, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan Datuk Shazryl Eskay Abdullah telah membuat pengakuan secara terbuka dan mengambil tanggungjawab di atas penemuan dan penayangan video lucah di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu, maka beberapa perbandingan dan persoalan boleh ditimbulkan berkaitan kedua-dua video seks ini.

“Saya berpendapat penyiasatan lanjut berkaitan video seks kedua 2011 wajib mengambil kira kewujudan dan keadaan berkaitan video seks pertama 1999.

“Terdapat ‘nexus’ antara kedua video seks ini,” kata beliau lagi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails