Tuesday, April 19, 2011

Utusan Malaysia pertahan tulisan Awang Selamat

PETALING JAYA: Utusan Malaysia hari ini mempertahankan pendiriannya melalui rencana bertajuk ‘Bukan rasis tetapi strategi’ tulisan pengarang Zulkiflee Bakar dengan memetik kata-kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di lobi Parlimen semalam.

“Itu hanya idea, kita lihat akhbar The Star, mereka juga bercakap mengenai pelbagai sentimen dalam lanskap politik negara. Kita lihat juga akhbar berbahasa Cina. Saya pantau laporan mereka mengenai sentimen politik negara adalah begitu teruk sekali.


“Bagaimanapun kita perlu memberikan semua akhbar-akhbar ini ruang kerana mereka tahu landskap politik negara yang kini bukan sahaja telah berubah, malah jauh lebih berbeza daripada sebelum ini.”

Awang Selamat dalam artikelnya yang diterbitkan pada hari Ahad menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengendahkan pengundi masyarakat Cina kerana mereka menyokong parti pembangkang DAP di dalam pilihan raya negeri Sarawak yang berlangsung pada hari Sabtu.

Dalam hujah mempertahankan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Zulkiflee menulis bahawa Awang Selamat tidak menyatakan BN perlu menolak undi Cina, sebaliknya mencadangkan berdasarkan keputusan pilihan raya negeri Sarawak ke-10, BN perlu merangka strategi baru tanpa mengharapkan pengundi Cina akan kembali menyokong parti itu.

Zulkiflee turut menyoal keistimewaan masyarakat Cina sehingga tiada sesiapapun boleh mengupas atau memberi pandangan terhadap tindakan mereka.

Mengulas lebih lanjut, Zulkiflee menulis bahawa penulisan di dalam akhbar Cina lebih memperlihatkan sifat perkauman berbanding tulisan Awang Selamat yang bersifat pandangan semata-mata.

“Sesiapa juga yang mengikut ruangan ‘Dari akhbar Cina’ dalam Utusan Malaysia akan mendapati betapa rasisnya sesetengah tulisan sehingga ada antara tulisan itu memperlekehkan usaha kerajaan, menyindir orang Melayu dan memburukkan bekas-bekas pemimpin negara.”

Hujah Zulkiflee seterusnya ialah pola pengundian masyarakat Cina sejak beberapa pilihan raya kecil lepas seperti Hulu Selangor, Galas, Tenang, Kerdau dan Merlimau memperlihatkan bahawa masyarakat Cina tidak menyokong BN.

Justeru itu adalah wajar bagi BN mencari strategi baru seperti yang dicadangkan Awang Selamat dan bukannya ‘terus merayu dan dipenuhi permintaan jika akhirnya sokongan tetap kepada DAP’.

Zulkiflee menulis bahawa cadangan Awang Selamat untuk ‘mencari kaedah baru menghadapi kemungkinan kehilangan sokongan pengundi Cina tidak bersifat perkauman sebaliknya adalah berlandaskan realiti landskap politik negara yang semakin berubah.’

Beliau turut membidas sesetengah pihak yang melatah bahawa Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia bersifat perkauman namun pihak-pihak diam seribu bahasa apabila akhbar-akhbar Cina dan portal berita pro-pembangkang menerbitkan kenyataan yang berbaur perkauman.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak akan dianugerahkan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sempena dengan hari keputeraan baginda ke-83 hari ini.



Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails