Saturday, April 23, 2011

Utusan Berniat Jahat kata Mustaffa


KUALA LUMPUR 23 APRIL : Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan serta menafikan laporan beberapa media termasuk Utusan Malaysia hari ini, yang mendakwa PAS akan menilai semula kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat selepas siasatan video seks yang dikaitkan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu selesai.

Sambil kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab akhbar kawalan Umno-Barisan Nasional(BN) itu, Mustafa berkata, laporan tersebut jelas berniat jahat dan sengaja memanipulasikan kenyataannya.


Katanya, dia sama sekali tidak pernah mengaitkan isu video seks dengan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, semalam.

"Saya ditanya berhubung saranan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mencadangkan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) melakukan sumpah mubahalah.

"Jadi saya jawab, perkara itu tidak timbul kerana kerajaan sekarang ini menggunakan undang-undang sivil, Polis siasat sahajalah.

"Kalau ubah kes ini ke Mahkamah Syariah, baru kita (PAS) tengok kembali apa pendirian kita dalam isu tersebut," katanya.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan sidang media Mustafa semalam itu dengan tajuk 'PAS tunggu siasatan selesai'.

Laporan itu menyebut bahawa PAS akan membuat ketetapan baru mengenai masa depan parti itu dalam pakatan pembangkang, apabila siasatan mengenai rakaman video seks itu siap sepenuhnya.

Selain Utusan, beberapa media lain termasuk Berita Harian dan The Star turut melaporkannya.

Sehubungan itu, beliau mahu media-media yang terlibat agar memohon maaf serta memperbetulkan laporan mereka sebelum tindakan perundangan diambil.

Semalam, Mustafa diminta mengulas pendiriannya berhubung kontroversi video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.

Mustafa menegaskan, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kuasa untuk polis menyiasat kes ini berdasarkan kepada undang-undang dan perlembagaan yang sedia ada.

"Bagi kita, PAS kata siasat dahulu sebab proses yang dilakukan oleh kerajaan ini berdasarkan kepada undang-undang dan perlembagaan yang ada.

"Ia bukan berdasarkan kepada kaedah Islam. Jadi PAS ikut proses perlembagaannya, undang-undang yang sedia ada.

"Kalau kerajaan memutuskan cara mengikut Islam. Tapi di Mahkamah Syariah dalam kes liwat (sebelum ini) dah tolak dah... Kalau itu, kita lihat posisi kita lagu mana.
"Kalau betul-betul kerajaan memutuskan kes ini mengikut cara syariah, kita akan nyatakan pendirian kita," katanya.

Mengulas lanjut cadangan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin supaya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah laknat bagi membuktikan bahawa individu dalam video tersebut bukannya dirinya Mustafa berkata, beliau enggan mengulas mengenai isu berkenaan kerana ia disifatkan "perkara yang tidak berlaku".

"Kalau bukan dia macam mana... sehingga betul bahawa itu adalah Anwar, baru kita boleh buat pendirian macam mana," katanya.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails