Monday, April 25, 2011

Utusan bawa suara Melayu?

KUALA LUMPUR, 25 April — Utusan Malaysia mewakili kepentingan orang Melayu dan tindakan memulau akhbar milik Umno itu hanya akan membataskan suara kominiti itu, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan presiden Umno ini mengulas gesaan MCA agar akhbar itu dipulau ekoran gesaan editornya supaya digerakkan gelombang “1Melayu, 1Bumi”.

Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan membela hak dan keistimewaan orang Melayu, menyahut idea itu.

Minggu lalu, Timbalan ketua publisiti MCA Loh Seng Kok memberi amaran gelombang sedemikian akan mewujudkan persekitaran aparteid di negara ini.


Dalam responsnya hari ini, Muhyiddin menambah, kerajaan tidak boleh menghalang akhbar itu daripada menyiarkan laporannya.

“Ia suara dan kehendak komuniti Melayu dan juga rakyat Malaysia pada umumnya. Jika kita baca Utusan, kita dapat melihat bahawa ada laporan-laporan mengenai perkara-perkara lain,” katanya lagi.

“Seperti media lain, ada pro dan kontra. Kita tidak boleh menghalang media daripada membuat laporan mengenai apa yang ia hendak laporkan tetapi ada batasan, di mana ada undang-undang,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata tindakan memulau Utusan Malaysia boleh menyebabkan suara masyarakat Melayu terabai.

“Meskipun anda pulau, ia tidak akan (membawa) kesan sama sekali. Lagi anda minta tidak membaca, lagi ramai orang hendak membaca.

“Malah, bukan Melayu juga mengatakan ada laporan-laporan sensitif dalam media bukan Melayu. Jika kita tanya mengapa berita-berita sedemikian dilaporkan, mereka akan mengatakan ia menggambarkan perasaan komuniti Cina dan India,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjauhkan diri daripada pendirian editor Utusan Malaysia, yang disiarkan tyang mengesyorkan agar parti-parti Melayu menggerakkan gelombang “1 Melayu, 1 Bumi” sambil menegaskan ia pandangan “peribadi” akhbar Umno itu.

Perdana Menteri juga berkata pendirian akhbar terbitan Kumpulan Utusan itu tidak akan menggugat komitmen kerajaannya melaksanakan gagasan 1 Malaysia.

Dalam tulisan ruangan Cuit Rabu lalu, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan berkata, DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.

Katanya, hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuhnya oleh orang Cina tetapi yang lain “semua sudah.”

“Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia,” katanya.

Dia berkata, slogan itu sebenarnya bukan ditujukan kepada orang lain, tapi khususnya kepada orang Cina.

“Terpapar megah di dada baju penyokong dan calon DAP dalam pilihan raya Sarawak supaya diubah kepimpinan Melayu Malaysia ini,” katanya lagi.

Katanya, pilihan raya umum ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka.

Kata Zaini, “sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru.”

Dia seterusnya berkata, pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi.”

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula berkata usaha sedemikian akan menyebabkan malapetaka jika menjadi kenyataan.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails