Tuesday, April 19, 2011

Undi Cina Bukan Membuta Tuli, Tapi Demi Perubahan


SHAH ALAM 19 APRIL : Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng tidak melihat pengundi Cina sebagai 'tidak berterima kasih' atau memberontak terhadap Barisan Nasional (BN) sebaliknya sebagai pemangkin perubahan rakyat.

Wong berkata pengundi Cina teguh berdiri dibarisan hadapan bagi menuntut perubahan lantaran muak dengan pemerintahan BN yang gagal memberikan keadilan bukan saja kepada kaum Cina, malah semua kaum di Sarawak.


"Mereka berada di barisan hadapan untuk perubahan. Ia bukan satu revolusi. Tidak adil untuk kata mereka sengaja melawan arus. Kaum Cina dimarginalisasi oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan walaupun menyumbang banyak kepada perkembangan ekonomi negeri,

"Hakikatnya, kaum Cina turut sedar Iban, Bidayuh, minoriti Dayak lain serta Melayu Melanau turut dilupakan Kerajaan Pusat. Jadi tiada niat jahat untuk kaum Cina melangkah ke hadapan walaupun Kerajaan kata sebaliknya. Kita (Rakyat Sarawak) sudah menderita dengan penindasan Kerajaan ini dan seuatu perubahan perlu dilakukan," kata Wong ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Media arus perdana yang diketuai akhbar kawalan UMNO, Utusan Malaysia menyatakan sokongan pengundi Cina yang semakin meningkat terhadap DAP pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 adalah bukti mereka 'tidak berterima kasih' dan 'tidak setia' kepada Barisan Nasional.

Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad menuduh pengundi Cina Sarawak sebagai terpengaruh dengan politik Rasis DAP.

Malah komponen BN Sarawak SUPP yang didominasi kaum Cina tumbang persis parti MCA pada Pilihan Raya umum lepas.

Wong yang juga ADUN Bukit Assek sejak 2006 menyatakan hal ini hasil percaturan politik rasis BN yang seringkali dimainkan oleh akhbar Utusan.

Beliau mempersoalkan mengapa BN sebagai gabungan pelbagai parti tidak pernah melihat Pakatan Rakyat sebagai entiti yang memperjuangkan hak semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama di negara ini.

"Kami, DAP bersama PKR dan PAS di Pakatan Rakyat. Sebagai entiti politik kami boleh bekerjasama dengan baik. Saya tertanya-tanya kenapa Utusan gagal melihat perkara ini. Pemimpin BN pun tak boleh lihat perkara ini.,

"Kami tak memainkan isu perkauman. Kami, sebagai entiti mahu Kerajaan pastikan tidak ada isu perkauman di Sarawak, bukan sahaja di Sarawak tapi di Seluruh Malaysia," kata Wong lagi.

Justeru beliau menyelar peranan Utusan yang nyata tidak senada dengan apa yang dilaungkan BN bahawa mereka adil dan tidak bersifat perkauman.

"Utusan seperti yang saya lihat tidak layak menjadi akhbar. Utusan sudah dikenali banyak memainkan isu perkauman tetapi kerana ia milik (salah satu parti) BN, pemimpin BN membiarkan hal ini,

"Saya sedar dan risau dengan politik penipuan dan perkauman yang dibawa akhbar ini tapi tiada seorangpun pemimpin BN yang mempunyai kesedaran untuk menegur kenyataan seperti ini," ujar beliau


TVS News

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails