Monday, April 11, 2011

Sarawak : Tiada ole-ole.. tapi yang hadir lebih 8000 orang.. (Video Inside)


Suhu politik di Sarawak mula bergelegak dan lazimnya malam Ahad yang sunyi dikejutkan dengan kedua-dua BN dan pakatan Rakyat yang memperhebatkan kempen masing-masing. Pertarungan paling sengit berlaku di Kuching, malam semalam.

DAP melabelkannya sebagai 'Super Sunday', di mana hadirin sehingga melebihi 10,000 orang membanjirinya dua rali yang dianjurkannya.


Jumlah hadirin terbesar adalah di Batu Kawah, dengan dianggarkan tidak kurang 8,000 orang yang datang dan sanggup berdiri berjam-jam lamanya semata-mata untuk mendengar ceramah daripada tiga 'orang kuat' Pakatan - setiausaha agung DAP Lim Guan Eng; ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Sebaik sahaja Anwar menyebut mengenai “video seks', para hadirin gelak dan ramai yang dilihat kurang mempercayai bahawa pelaku di pita itu adalah dirinya seperti yang didakwa.

Kehadiran orang ramai menyebabkan kesesakan lalulintas sehingga lima kilometer di Jalan Batu Kawah.

Ada juga yang membawa kerusi plastik masing-masing dan berada di jambatan Batu Kawah, kira-kira 200 meter dari lokasi ketua pembangkang itu sedang berucap.

"Saya juga diberi amaran - sekarang ini seorang pegawai Kastam telah meninggal dunia, DNA saya juga akan ditemui di sana,” kata Anwar sambil disambut gelak ketawa daripada hadirin.

Dalam nada yang lebih serius, beliau juga menimbulkan isu kitab Injil berbahasa Melayu yang dirampas di Pelabuhan Klang dan Kuching oleh Kementerian Dalam Negeri.

Sejumlah 31,500 kitab Injil berkenaan dirampas dan ditahan kerana dikatakan mengandungi beberapa perkataan yang dilarang termasuk penggunaan kalimah Allah.

"Nama bapa kepada Nabi Muhammad ialah Abdullah (maknanya hamba Allah) dan beliau dilahirkan 70 tahun sebelum kedatangan Islam, jadi ini bukan isu,” kata Anwar.

Beliau juga membidas kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri berkempen di Sarawak.

Sambil menyifatkan ia sejarah dalam pilihan raya Sarawak, katanya kehadiran Najib membuktikan BN kini terlalu takut dengan kuasa rakyat yang kini sudah tidak boleh menerima lagi Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Nik Aziz pula dalam ucapannya mahu rakyat di Sarawak memilih pemimpin yang amanah dan tidak mengkhianati rakyat dan tidak melakukan kemungkaran di bumi Allah.

Beliau yang juga menteri besar Kelantan berkata, apa yang sudah terbukti, Pakatan Rakyat telah mempamerkan urus tadbir yang baik di negeri-negeri yang diperintah mereka termasuk Kelantan yang diperintah sudah lebih 20 tahun dengan menerapkan nilai agama Islam.

"Pilihan raya ini tempat kita nak pilih pemimpin yang baik dan amanah. "PAS berkawan dengan DAP dengan PKR dan berjanji untuk menjaga rakyat dengan lebih baik.

"Jadi pilih calon Pakatan Rakyat. Kalau calon DAP bertanding, pangkah DAP, kalau PKR tanding, pangkah PKR, kalau PAS tanding pangkah PAS," katanya yang turut mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Buaya dua kaki

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang ketika berucap, turut menyeru rakyat Sarawak memilih calon Pakatan Rakyat.

Dalam nada berseloroh, katanya, wakil DAP di Batu Kawah, Christina Chew berkeupayaan menangkap 'buaya dua kaki' yang sering memakan harta rakyat negeri ini.

"Di Sarawak ada banyak sungai, dalam sungai ada banyak buaya, bukan buaya empat kaki, tapi buaya dua kaki. "Kalau empat kaki takpa, kita boleh tembak saja tapi ini buaya dua kaki, kita kena undi Christina untuk ajar itu buaya dua kaki," kata Lim yang menyebabkan hadirin tidak kering gusi.

Sambil merayu penduduk di bumi Kenyalang itu agar berhenti memberi mandat kepada BN, beliau juga mahu rakyat jangan terus tertipu dengan janji Taib yang mahu menjadikan Sarawak negeri terkaya.

"Nak jadi kaya mesti zero corruption, kalau tidak, you zero income", katanya.

Lim seterusnya mengajak hadirin menukar rangkap lagu 'I want nobody nobody but you' nyanyian Wonder Girls kepada 'No money no money for you' untuk ditujukan kepada Taib.



Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails