Sunday, April 17, 2011

Peratusan undi Pakatan Rakyat meningkat banyak

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan raya Negeri Sarawak ke-10 menyaksikan jurang sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) berbanding Pakatan Rakyat, semakin mengecil, kata penganalisis politik terkenal, Dr Abu Hassan Hasbullah.

Pengerusi Zentrum Future Studies Malaysia (Zentrum) itu berkata, ia juga bermakna perubahan besar mula merebak ke Bumi Kenyalang berikutan sokongan terhadap Pakatan Rakyat (PR) semakin besar.

“Peratusan yang menyokong BN adalah 372,379 pengundi manakala Pakatan Rakyat mendapat 261,666 undi. Ini bermakna peratusan yang mengundi PR semakin meningkat. Jika diukur, beza peratusan hanya 32peratus,” katanya hari ini.


Beliau berpendapat, kemenangan Pakatan Rakyat di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kali ini bakal membentuk masa depan baru bagi proses perubahan jangka panjang negeri itu.

“Jelas, Sarawak akan membentuk masa depan baru dalam tempoh panjang dengan kejayaan PR yang mengungguli kepercayaan politik di bandar dan masyarakat urban,” katanya.

Abu Hassan berkata, Barisan Nasional (BN) tidak lagi akan berasa selesa sekalipun mencatatkan kemenangan dengan dua pertiga majoriti pada pilihan raya itu.

“Walaupun BN menang 55 kerusi, kemenangan itu masih tidak selesa memandangkan kawasan majoriti Cina dan lokasi bandar, mahukan perubahan politik di Sarawak.

“Ini petunjuk jelas berlakunya revolusi masyarakat media baru secara keseluruhannya yang mahukan pembentukan strategi dan perubahan,” katanya.

Beliau menganggap Pakatan Rakyat lebih berjaya dalam pilihan raya itu berikutan kemampuannya menumbang dua pemimpin utama BN, sekali gus menandakan kebangkitan kaum majoriti di negeri itu.

“Kecuali Melayu Melanau, lihat saja kebangkitan Orang Ulu, Dayak dan Iban. Mereka mula sedar proses pembentukan dan perkembangan arus politik di Sarawak,” kata Pensyarah Kanan Jabatan Media Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaya itu.

Beliau percaya kemenangan BN tidak memberi refleksi kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kerana situasi politik di Sarawak yang berbeza dengan senario di Semenanjung.

“Perubahan ini untuk masa depan Sarawak, tidak memberikan gambaran kepada PRU ke-13 kerana keadaan politik yang berbeza dengan Semenanjung,” katanya.


Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=11648

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails