Tuesday, April 19, 2011

Pasca-PRU Sarawak : Taib Sindir Najib?

KUALA LUMPUR, 19 April — Isu peralihan kepimpinan yang menjadi bahan kempen dan langkah Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan “tergesa-gesa” mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak dilihat akan mencetuskan hubungan pascapilihan raya negeri “mesra renggang” antara Putrajaya dan kerajaan negeri itu, kata beberapa penganalisis.

Malah penganalisis politik melihat tindakan Taib mengangkat sumpah dengan segera selepas Barisan Nasional (BN) diisytiharkan memenangi pilihan raya negeri Sarawak kerana ingin “menempelak” Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN dan Perdana Menteri.

“Ya . . . ya . . . beliau mahu tunjukkan beliau masih layak dan tengok keputusan beliau masih layak dan beliau masih boleh jadi ketua menteri,” kata Prof Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman.


“Pada pandangan saya, beliau cuba menempelak dan menunjukkan kepada Perdana Menteri bahawa beliau masih mendapat sokongan dua pertiga, sokongan masih tinggi dan layak untuk menjadi ketua menteri,” katanya.

BN memperoleh 55 kerusi iaitu lebih dua pertiga walaupun mengalami kemerosotan sebanyak tujuh berbanding keputusan 2006.

Malah, parti pimpinan Taib iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang di kesemua 35 yang ditandingi iaitu kemenangan 100 peratus berbanding parti-parti lain.

Kata beliau, kemungkinan krisis antara Putrajaya dan kerajaan negeri Sarawak akan berterusan sekiranya Taib memutuskan untuk tidakberundur — walaupun sebelum ini diperkatan peralihan kuasa akan berlaku.

Malah Taib telah berjanji akan berundur “sekitar pertengahan penggal ini” dan akan menggunakan kesempatan sebelum bersara itu untuk membentuk kepimpinan barisan kepimpinan baru yang mantap.

“Ia (krisis) boleh terjadi, namun ia bergantung kepada rundingan yang akan dibuat selepas ini. Mungkin hubungan akan terjejas jika Taib masih berkeras untuk tidak berundur.

“Mungkin kalau dia (Taib) secara tiba-tiba cakap tidak mahu berundur atau buat-buat lupa akan janjinya, namun tindakan dia mengangkat sumpah itu menunjukkan dia tidak mengambil berat terhadap keprihatinan Perdana Menteri,” kata Ahmad Nidzammuddin.

Jelas beliau, Najib selaku Pengerusi BN juga tidak boleh terlalu berkeras mendesak Taib agar berundur kerana ia boleh menyumbang kepada perpecahan parti itu.

“Perdana Menteri tidak boleh paksa sangat. Jadi kena bermain cara selamat supaya tidak wujudkan keadaan yang bahaya kepada BN sebab Taib bukan dari Umno . . . dia dari PBB sebab itu dia berani (melawan).

“PBB adalah komponen BN yangkuat, kalau Najib masih desak dan paksa nanti dibuatnya PBB keluar habislah BN sebab itu Najib tak boleh berkeras sangat dengan Taib.

“Sebab itu, Najib terpaksa akur dengan keputusan itu. Kalau Taib kata tidak mahu, maka Najib kena ikut dan terpaksa tunggu keputusan Taib nanti,” katanya.

Ahmad Nidzammuddin juga tidak menolak tindakan Taib mengangkat sumpah dengan segera selepas BN menang dua pertiga kerana “bimbang” tidak akan dilantik memegang jawatan itu lagi.

Kabinet kerajaan negeri dibentuk semalam dan majlis angkat sumpah diadakan dengan lapan anggota sedia ada dikekalkan.

“Itu tak dapat pastikan (angkat sumpah segera), mungkin ada perundingan untuk desak melantik ketua menteri baru, dia (Taib) mungkin sudah dapat rasa tekanan itu dan malam itu juga dia terus minta untuk angkat sumpah segera.

“Ini bermakna dia membayangkan kalau dia lambat mungkin akan ada perundingan pihak tertentu untuk orang lain dilantik menjadi ketua menteri yang baru . . . sebab itu dia cepat-cepat angkat sumpah, dia bimbang akan ada orang lain akan ambil alih jawatan itu.

“Mungkin dia juga bimbang pihak atasan akan pujuk atau desak dia agar undur diri sebab itu dia desak untuk angkat sumpah pada malam itu juga,” katanya.

Kata pensyarah kanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), keputusan Taib itu menyebabkan banyak pihak termasuk BN “terkejut” kerana tidak menyangka angkat sumpah dibuat pada malam keputusan pilihan raya — ketika wakil rakyat dan jentera pilihan raya menyambut kemenangan di kawasan masing-masing.

“Ramai orang yang tertanya-tanya kenapa mesti buat pada malam itu? Orang tengah sibuk di kawasan masing-masing tapi dia boleh cepat angkat sumpah pula,” katanya lagi.

“Mengikut undang-undang dia boleh angkat sumpah tapi dari sokongan parti beliau harus faham . . . masa beliau sudah terlalu lama, beliau patut beri peluang kepada muka baru, zaman beliau sudah berlalu,” katanya.

Tambah beliau, langkah Taib itu akan memberikan impak kepada BN terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Saya ada dengar tentang betapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu dia berundur kerana beliau (Najib) memikirkan tentang kepentingan Sarawak yang mana rakyat suka dapat ketua menteri yang baru, macam satu masalah kalau tak nak berundur.

“Jadi Perdana Menteri dalam keadaan serba salah, keadaan beliau (Taib) itu sepatutnya sudah berundur, BN dapat menang dua pertiga pun kerana bantuan kerajaan pusat,” katanya.

Tegas Ahmad Nidzammuddin, langkah Taib itu juga akan menyebabkan beliau menjadi liabiliti kepada BN.

Justeru, beliau berkata Taib perlu memberikan tarikh bila akan berundur daripada jawatan itu.

“Bila tak bagi masa orang ragu-ragu, berapa kali cakap akan berundur tapi tidak, Perdana Menteri nak berundur demi menyelamatkan BN supaya beliau tak jadi liabilti dan untuk juga hadapi pilihan raya umum.

“BN masih berasa bimbang akan pilihan raya umum ke-13 di Sarawak nanti, jadi beliau perlu berikan tarikh bila akan berundur supaya ia akan menyakinkan orang ramai,” katanya.

Isu peralihan kuasa kepimpinan Taib, yang mengetuai negeri itu sejak 1981 menjadi bahan kempen dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ke-10 yang berakhir Sabtu lalu.

Malah Pakatan Rakyat menggesa Taib mengumumkan pelan peralihan iaitu penggantinya dan tarikh ia akan dikuatkuasakan.

Selain itu, Najib juga telah mengumumkan peralihan kuasa akan dilaksanakan dalam waktu terdekat selepas pilihan raya negeri itu, namun Taib menegaskan hanya akan berundur beberapa tahun lagi.

Pendapat Ahmad Nidzammuddin itu disokong Prof Madya Dr Ghazali Mahyuddin sambil menambah, adalah wajar Taib memberikan satu tarikh yang tepat untuk beliau berundur.

“Orang akan lihat janji kata akan bersara, beliau (Taib) tak ada pilihan selain kotakan janji kalau tidak akan beri kesan kepada BN nanti . . . isu Taib sangat beri kesan kalau tak letak jawatan seperti yang dijanjikan.

“Saya ingat ia penting kotakan janji, kata akan letak jawatan jadi beliau kena kotakan janji, sama ada letak jawatan atau tidak... jika tidak ia akan beri kesan dan jadi liabiliti kepada BN nanti,” katanya.

Jelas Ghazali, beliau juga percaya tindakan Taib itu dibuat kerana kemungkinan akan ada calon lain yang lebih berkelayakan untuk memegang jawatan ketua menteri bagi menggantikannya.

“Ia agak luar biasa sebab seolah-olah tak sempat nak tunggu esok, kemungkinan ada calon lain dan ada desakan orang lain akan jadi ketua menteri.

“Apa yang dilakukan agak luar biasa kerana nak kata BN dan Pakatan Rakyat 50-50 tidak, sudah pasti BN pegang teraju pemerintahan . . . jadi tidak perlu nak gesa-gesa, mungkin ada calon lain sebelum itu berlaku segera dilantik sebagai ketua menteri,” katanya.

Bagaimanapun Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata peralihan kuasa itu akan dibuat selepas Taib membentuk Kabinet dalam kerajaan negeri Sarawak.

“Dia akan buat peralihan kuasa maksudnya selepas bentuk Kabinet baru akan buat peralihan kuasa.

“Peralihan kuasa itu akan berlaku cuma akan bentuk Kabinet dulu, siapa pengganti akan buat selepas ini, tindakan itu (angkat sumpah) adalah satu tindakan yang betul,” katanya.

Ini kerana jelas Samsul Adabi, Taib adalah individu yang layak untuk mengangkat sumpah sebagai ketua menteri ekoran kejayaan PBB memenangai kesemua 35 kerusi yang ditanding parti.

Malah, sebagai Presiden PBB, kata beliau Taib adalah individu yang tepat dipilih sebagai ketua menteri sebelum sebarang peralihan kuasa dibuat.

“Pertama dari segi kesegeraan angkat sumpah itu diutamakan untuk bentuk kerajaan dan dia masih mengetuai kerajaan negeri kerana parti dia menang semua kerusi berbanding parti lain dalam BN.

“Jadi peralihan kuasa itu akan berlaku selepas Kabinet baru dibentuk bukan selepas dia menang,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails