Tuesday, April 5, 2011

Orang ramai boleh tahan ‘Datuk T’ - Karpal

Karpal mendakwa ketua polis gagal menjalankan tanggungjawab menahan Datuk Syazril Eskay Abdullah, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Datuk Shuib Lazim

KUALA LUMPUR: Jika Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar gagal menahan ‘Datuk T’ yang didakwa bertanggungjawab menayangkan video seks yang didakwa Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang ramai berhak berbuat demikian.

“Jika beliau gagal berbuat demikian, orang ramai berhak menahan `Datuk T’,” kata Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam sidang akhbar di rumah Anwar hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mendakwa ketua polis gagal menjalankan tanggungjawab menahan ahli perniagaan Datuk Syazril Eskay Abdulalh, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim yang dikenali sebagai Datuk T.


Bagaimanapun, Karpal yang juga seorang peguam berkata, beliau belum menonton video terbabit.

“Apabila seseorang terlibat dalam jenayah maka orang ramai ada hak untuk menahan individu tersebut.

“Dalam hal video seks ini orang ramai boleh menahan Datuk T….tapi ianya lebih baik dilakukan oleh pihak polis,” katanya.

Pada 25 Mac lalu, Syazril Eskay dan Abdul Rahim menyerahkan pita video seks dan jam tangan Omega kepada polis.

Mereka mengaku bertanggungjawab menjemput wakil media menonton klip video seks tersebut.

Anwar membuat laporan polis berhubung video itu dan pasukan keselamatan itu telah mengambil keterangan dari ketiga-tiga individu berkenaan.

Menurut Karpal dalam undang-undang tidak bertulis, individu yang terlibat dengan jenayah boleh ditahan tanpa waran.

Sementara itu Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang turut hadir dalam sidang media tersebut berkata kerajaan negeri akan memantau keadaan dan jika perlu tindakan undang-undang akan diambil.

“Kerajaan negeri akan pantau keadaan dan jika perlu kita akan ambil tindakan agar mereka yang terlibat menyebarkan video itu dibawa ke penghakiman,” katanya.

Pada Ahad lalu, klip video seks itu selama 1 minit 47 saat telah dimuat naik ke laman web Youtube, dan semalam di laman sosial Facebook.

Namun satu notis dikeluarkan oleh pihak Youtube pada 11.35 malam semalam berhubung pengeluaran video itu dari laman web itu dengan menyatakan ‘ia melanggar polisi berhubung kandungan video yang mempunyai aksi seksual’.

Sementara itu, Ismail menafikan klip video berkenaan dibocorkan oleh pihak polis.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails