Saturday, April 16, 2011

Mafrel : Peratusan Keluar Mengundi Rendah Berbanding 2006

KUCHING 16 APRIL : Penyelaras Mafrel Sarawak, Wan Zain Syed Mahdzar memberitahu Tv Selangor, peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10 yang berlangsung hari ini tidak mencapai sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 75 peratus.

Malah menurut Wan Zain jumlah pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab itu hari ini juga merosot berbanding 2006.

" Jumlah keluar membuang undi pemilih ini kita lihat semakin menurun kali ini. Kita jangkakan 70 lebih tetapi sekarang ini (semua pusat undi ditutup), hanya 60 peratus lebih sedikit sahaja," katanya ketika dihubungi.

Menurut Wan zain beberapa faktor menyebabkan berlakunya keadaan itu antaranya masalah logistik yang dihadapi pengundi luar bandar untuk ke pusat pembuangan undi yang jauh dari kediaman mereka.


Malah ujarnya pengundi-pengundi yang berada di luar kawasan seperti bekerja di Semenanjung juga mungkin tidak pulang kerana kekangan kewangan dan sebagainya.

Manakala faktor ketiga ialah, ada pengundi yang memilih untuk tidak membuang undi.

" Ada juga di kawasan-kawasan tertentu pengundi yang keluar membuang undi tidak sampai 50 peratus,"tambahnya lagi.

Namun menurut Wan Zain secara keseluruhnnya, proses pilihan raya negeri kali ini berlangsung dengan baik dan lancar.

" Pada keseluruhannya kita lihat memang tidak ada insiden-insiden yang berlebihan. Tapi ada satu dua insiden yang berlaku tapi semuanya masih dalam kawalan.

Peratusan paling tinggi pilihan raya negeri Sarawak disaksikan ketika pilihan raya negeri yang pertama pada 1969 iaitu 74.1 peratus.

Pada pilihan raya negeri 2006, peratusan keluar mengundi hanya 63.2 peratus.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan peratusan pengundian antara 65 hingga 75 peratus daripada 979,796 pemilih berdaftar.

Seramai 213 calon bertanding merebut 71 kerusi.

Pada 2006, BN menguasai 62 kerusi pada hari pengundian dan kemudiannya, seorang wakil rakyat dari Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) menyertai komponen itu yang membolehkan BN menguasai 63 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri sebelum pembubarannya.

Seramai 18,363 pengundi pos juga selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing pada Rabu dan Khamis lalu.

TVS News

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails