Monday, April 4, 2011

Isu Alkitab : Mufti Perak Cabar UMNO/BN.


KUALA LUMPUR, 4 April — Tan Sri Harussani Zakaria mencabar Putrajaya membatalkan undang-undang Islam sekiranya masih bertegas mahu membenarkan penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab Injil versi Bahasa Malaysia.

Mufti Perak itu menegaskan sekiranya Putrajaya membuat keputusan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil itu, maka secara automatik enakmen agama Islam yang tidak membenarkan agama lain menggunakan istilah eksklusif bagi agama Islam terbatal sama sekali.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata, kerajaan pusat mengumumkan 10 formula penyelesaian, antaranya kitab Injil dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia atau Indonesia boleh diimpot ke Malaysia bagi menyelesaikan isu Alkitab.


Selain itu, Putrajaya juga memutuskan Alkitab juga boleh dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah perkembangan baru yang seharusnya diterima dengan senang oleh kumpulan Kristian,” kata Idris.

Bagaimanapun, bagi menghormati komuniti Islam yang besar di Semenanjung, kitab Injil dalam Bahasa Malaysia/Indonesia mesti tertera dengan “Penerbitan Kristian” (“Christian Publication”) dan tanda salib pada kulit hadapan.

Demi semangat 1 Malaysia dan akuan bahawa ramai yang berhijrah antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, tidak terdapat larangan bagi mereka yang membawa kitab Injil dan bahan bacaan Kristian semasa melawati negeri-negeri tersebut.

Idris berkata, “adalah harapan saya agar jalan penyelesaian yang berdasarkan 10 aspek yang telah dikemukakan diterima oleh kumpulan Kristian secara positif, adil dan munasabah.”

Sehubungan itu kata Harussani, mana-mana kitab suci agama lain termasuk Kristian tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dan beberapa istilah lain yang eksklusif bagi agama Islam di negara ini.

“Apa yang saya tegaskan pasal kalimah Allah... kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh agama lain, di Sabah dan Sarawak tidak ada enakmen ini tapi di Semenanjung ada.

“Dalam enakmen agama Islam sudah kata haram di peringkat kebangsaan, atas dasar apa kita perlu benarkan? Adakah enakmen ini terbatal? Adakah undang-undang yang kita buat ini secara automatik terbatal?

“Kalau kerajaan buat macam ini, batalkan sahaja enakmen agama Islam yang ada ini... saya rasa kecewa apabila kerajaan buat macam ini, undang-undang sudah kata tidak boleh kenapa kerajaan benarkan? Kalau mahu juga batalkan sahaja undang-undang yang sedia ada sekarang,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988, selain kalimah Allah, istilah lain yang tidak boleh digunakan bagi agama lain termasuk firman Allah, ulama, hadis, ibadah, Kaabah, dan kadi.

Selain itu turut dilarang ialah ilahi, wahyu, mubaligh, syariah, kiblat, haji, mufti, rasul, iman, dakwah, solat, khalifah, wali, fatwa, imam, nabi dan syeikh

Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan mempunyai undang-undang Syariah yang menghalang penggunaan kalimah Allah sama ada secara lisan ataupun bertulis bagi agama lain.

Harussani antara mufti yang lantang dalam pendiriannya berkata, tindakan Putrajaya masih membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil dalam Bahasa Malaysia itu disifatkan beliau sebagai “menghina al-Quran”.

“Bila kerajaan sudah buat macam ini, benarkan agama lain gunakan kalimah Allah, itu sudah menghina al-Quran.

“Sebab itu saya berkeras ia tidak boleh digunakan. Apa yang saya tentang adalah pasal kalimah Allah bukan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia,” katanya.

Beliau juga menegaskan buku kitab suci agama lain termasuk Kristian boleh diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia dengan syarat tidak menggunakan istilah-istilah yang ekslusif itu.

“Mengenai kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, penganut Kristian boleh guna... tiada masalah jika mereka mahu menghormati Bahasa Malaysia.

“Itu adalah bahasa kebangsaan, semua rakyat Malaysia boleh guna, jadi kena pegang betul-betul Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid juga menegaskan naskhah kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang ditahan Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang tidak boleh dibenar untuk dilepaskan kerana ia bertentangan dengan enakmen agama Islam negeri itu.

Jelas beliau, enakmen agama Islam Selangor menyebut mana-mana kitab suci agama lain termasuk Kristian tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dan beberapa istilah lain yang eksklusif bagi agama Islam di negara ini. -


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails