Wednesday, April 20, 2011

e-mel 1Malaysia, Projek selamatkan Kroni?

PETALING JAYA: Projek e-mel percuma melalui sebuah syarikat IT tempatan, Tricubes Bhd, yang bernilai RM50 juta merupakan satu lagi projek jenaka yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat di negara ini, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

Menurutnya, projek yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menjelaskan lagi bahawa usaha kerajaan- menerusi Projek Permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), tidak langsung mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat.

“Projek ini dimasukkan ke dalam projek utama dalam EPP di bawah ETP yang dikatakan bertujuan untuk meningkatkan dan melipatgandakan pendapatan rakyat.


“Tetapi rakyat boleh nilai sendiri bentuk projek yang ada dan ditawarkan kerajaan samada mendatangkan pulangan kepada rakyat,” ujarnya.

Selain menyifatkan projek e-mel 1Malaysia itu bukan idea yang bernas, Rafizi juga mempersoal cara kontrak tersebut diberi kepada Tricubes Bhd, yang dipercayai sebuah syarikat yang hampir muflis.

Tricubes Bhd disenarai sebagai ‘GN3 Companise’ dalam Bursa Malaysia yang merujuk kepada syarikat yang amat bermasalah dalam penstrukturan kedudukan kewangan dan operasi syarikat.

Justeru itu pemberian kontrak e-mel percuma itu adalah sekadar usaha kerajaan untuk menyelamatkan syarikat berkenaan, yang hampir pasti dilakukan melalui rundingan terus.

“Kita mahu tahu bagaimana tender ini diberikan kepada sebuah syarikat yang rekod kewangannya begitu buruk.

“Projek ini memang sah kita tahu direct nego. Jadi projek nego seperti ini sudah tentu kita tahu orang di belakangnya ada hubungan yang rapat dengan kerajaan,” ujarnya.

Menurut Rafizi, rakyat di negara ini tidak memerlukan e-mel percuma tetapi apa yang lebih penting adalah kemudahan infrastruktur yang lebih baik, terutama di kawasan pedalaman.

“Kalau rakyat di kawasan pedalaman, bukan lah kerana mereka tidak ada email tetapi kerana akses internet yang tidak ada.

“Orang perlukan elektrik, bekalan air dan khidmat pendidikan yang lebih baik. RM50 juta itu sepatutnya diberi kepada sekolah-sekolah.

“Kerajaan sepatutnya lebih tumpukan liputan internet dan bukannya emel percuma,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri Najib Tun Razak mengumumkan Tricubes Bhd akan melaburkan RM50 juta untuk menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Pelaburan bagi Projek Emel 1Malaysia itu adalah bagi menyediakan akaun email kepada semua warga Malaysia untuk urusan rasmi dengan kerajaan.

Najib ketika merasmikan projek berkenaan berkata, penyediaan emel itu bagi membolehkan komunikasi secara langsung dan selamat di antara rakyat dan kerajaan.

Ia juga dikatakan bertujuan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pengguna dan juga warga niaga.

Projek itu termasuk dalam tujuh projek baru yang diumum Najib hari ini dalam program ETP, yang sehingga kini dikatakan telah menjana pelaburan RM106.405 bilion.

Sebanyak 72 projek dalam 54 Projek Permulaan (EPP) diumumkan sehingga kini, yang bermakna 41.2 peratus daripada 131 EPP telah dimulakan, semuanya dalam tempoh kurang enam bulan sejak ETP dilancarkan.


Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=11812

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails