Monday, April 4, 2011

Bila Pegawai SPRM tersasul... Taib Mahmud kelihatan kebal..

Kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jatuh ke tahap paling rendah apabila dua pegawainya tersasul dalam satu sidang media mengenai kegagalan suruhanjaya itu menyiasat bagaimana Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud menimbun harta kekayaannya.

Sejak akhir-akhir ini, Taib kerap menjadi sasaran pendedahan di Internet mengenai timbunan kekayaan dan pemilikan tanah yang luas di mana banyak laporan telah dibuat kepada SPRM.

Dalam satu sidang media bagi membentangkan laporan tahunan dari jawatankuasa aduan SPRM pada 31 Mac lalu, kedua-dua Ketua Pesuruhjaya Abu Kassim Mohammed dan Pengerusi Jawatankuasa Aduan Mohd Nor Abdullah berdepan dengan soalan bertalu-talu dari para wartawan mengenai sikap membisu SPRM berhubung dakwaan yang telah sekian lama dibuat terhadap Taib.


Ketika mana Abu Kassim cuba mengelak, reaksi Mohd Nor jelas menunjukkan sikap tidak senang beliau. Kedua-dua mereka memberi mesej bahawa “Taib tidak boleh disentuh, jangan kamu cuba mendesak kami lagi”.

Kepada soalan daripada para pemberita seperti, sama ada aduan daripada orang ramai telah diterima, sama ada fail telah dibuka, berapa banyak kes, sama ada pendakwaan akan dilakukan, Abu Kassim hanya memberi jawapan-jawapan yang tidak relevan.

Beliau berkata, “kita perlu menyiasat semua kes rasuah, kita tidak boleh menolak perlunya penyiasatan, berdiam diri tidak bermakna tidak ada tindakan, dan sebagainya.”

Apabila datang lagi soalan daripada para wartawan, beliau mengulanginya seperti burung kakak tua: “Apabila ada aduan, kami akan siasat”.

Mohd Nor, yang duduk bersebelahan Kassim, menyampuk dengan memberi amaran kepada para pemberita supaya tidak bertanya lagi.

Nampak jelas, berdasarkan latar belakangnya sebagai hakim mahkamah rayuan, beliau memberitahu para pemberita supaya tidak melanggar Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA), yang menyebut berita hanya boleh diterbitkan jika terdapat alasan yang munasabah ianya boleh dipercayai.

Beliau berkata, “jika kamu soal saya sama ada siasatan akan dilakukan terhadap Ketua Menteri itu, kamu mungkin telah melanggar Akta tersebut, kerana kamu membuat andaian bahawa Taib terlibat dengan rasuah.

“Kamu tidak boleh ‘memancing’ bukti”

Kamu tidak menyoal saya begitu. Kamu tidak boleh cuba “memancing” bukti. Adakah kamu telah membuat penyiasatan? Selidik kebenaran dahulu, kemudian tanya?,” soal Mohd Nor.

Tatkala Abu Kassim kelihatan resah untuk menyentuh apa-apa berkenaan Taib, tindakannya itu hanya mengesahkan berita yang sudah pun menjadi pengetahuan umum. SPRM menjadi mandul untuk menyiasat kes yang melibatkan tokoh-tokoh besar dalam Barisan Nasional.

Tindakan Mohd Nor yang garang dan berupa ugutan yang bodoh itu terhadap wakil media telah menimbulkan kemarahan orang ramai, yang sebelum ini tidak begitu ambil peduli.

Mohd Nor bercakap seolah-olah kita tidak tahu mengenai timbunan bukti-bukti mengenai kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Taib yang dibongkar dan disebarkan melalui Internet.

Bukti-bukti tentang salah laku beliau boleh dikumpulkan berjilid-jilid dan begitu terperinci sehingga kita boleh menerbitkan sebuah buku yang tebalnya 2 inci, yang secara rasmi diserahkan kepada SPRM. Laporan yang dibuat hampir setahun lalu hanya membawa kepada sikap membisu dari SPRM.

Laporan-laporan tentang dakwaan terhadap Taib, kebanyakannya diperolehi dari laman sesawang Sarawak Report (http://www.sarawakreport.org) yang menceritakan secara terperinci tentang harta kekayaan keluarga Taib yang bernilai berbilion ringgit dalam bentuk hartanah di luar negara, syarikat-syarikat Malaysia dan pemilikan tanah yang sangat luas di Sarawak.

Sarawak Report membutirkan secara terperinci, yang sungguh menakjubkan, tentang aset keluarga Taib, lengkap dengan bukti pemilikan yang diceduk dari pejabat pendaftar tanah dan pendaftar syarikat. Mungkin kerana laporan yang terlalu detail ini, di mana bukti-bukti tidak dapat disangkal lagi, membuat pegawai-pegawai SPRM gundah gulana dan kelihatan bodoh di depan orang ramai.

Mengenai contoh begitu banyak laporan yang boleh didapati dari Sarawak Report, laman sesawang itu baru-barunya memuatkan pengkalan data dari Jabatan Ukur dan Tanah Sarawak yang mendedahkan bahawa beribu-ribu ekar tanah yang diambil sejak beberapa tahun kebelakang ini.

Kebanyakan tanah-tanah itu disalurkan kepada kroni dan keluarga yang rapat dengan Taib dengan bayaran premium yang sangat rendah.

Lebih 1.5 juta hektar tanah NCR dirampas

Banyak dari tanah-tanah ini, yang berjumlah lebih 1.5 juta hektar, yang berupa tanah adat (NCR), dirampas secara rahsia daripada penduduk pribumi, hingga menyebabkan mereka terpaksa membuat lebih 200 tuntutan dan aduan.

Beberapa kes telah didengar di mahkamah yang keputusannya memihak kepada para pemilik tanah itu, dan ini membuktikan terdapat kerja rampasan tanah oleh Taib.

Sebagai bukti keluarga Taib menikmati faedah dari rampasan tanah haram ini, nama kira-kira 50 buah syarikat yang terdapat dalam buku daftar Tanah sebagai penerima asal tanah dari negeri itu yang disenaraikan, setiap satu daripadanya ada kaitan dengan keluarga Taib.

Satu lagi berita buruk buat Taib ialah pendedahan terhadap “senarai hitam” 49 syarikat di seluruh dunia, yang setiap syarikat itu ada kaitannya dengan keluarga Taib.

Senarai ini, yang didedahkan oleh Dana Bruno Manser, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Switzerland, yang berjuang untuk memelihara kepentingan penduduk pribumi Sarawak, menunjukkan 13 dari syarikat ini berpengkalan di Malaysia, 10 di Australia, sembilan di Kanada, tujuh di Hong Kong, bakinya di UK dan di tempat-tempat lain di dunia ini.

Yang indahnya dari episod rasuah Taib ini ialah Taib sendiri tidak menafikan tentang kewujudan aset kekayaan luar biasa keluarganya.

Dalam satu wawancara bersempena kempen siber yang dilancarkan baru-baru ini oleh beliau sendiri bagi menangkis serangan berupa tuduhan terhadap kekayaannya, beliau menyifatkan kekayaan keluarganya akibat dari sifat keusahawanan dan kebijaksaan anaknya Jamilah.

Taib menerangkan bahawa apabila beliau meninggalkan perkhidmatan kerajaan pusat tiga dekad lalu, beliau memberi sedikit wang kepada Jamilah untuk membolehkan beliau menjalankan perniagaan di Kanada.

Berdasarkan kepintarannya dalam bidang perniagaan, perniagaan itu berkembang menjadi empayar perniagaan bertaraf antarabangsa.

Ketika kita masih terkial-kial dalam imajinasi kita bagi menerima hakikat kebenaran cerita Taib bagaimana kekayaan boleh dibina sebegitu pantas, jawapannya terdapat dalam satu lagi wawancara.

Untuk mensahihkan ceritanya tentang kekayaan yang dimiliki, Taib menjelaskan bahawa beliau tidak ada pilihan melainkan dengan menjalankan perniagaan di luar negeri 30 tahun yang lalu, ketika mana anak-anaknya sedang belajar, sudah pun menjalankan perniagaan.

Konflik kepentingan

Beliau berkata, “saya tidak mahu konflik kepentingan ini menghantui saya pada setiap masa. Jika saya menjalankan perniagaan dalam negeri, orang akan berkata, saya menggunakan pengaruh saya untuk mengkayakan diri sendiri, maka kami mengusahakannya di luar negara.”

Apa jenis penipuan ini! Siapa di Sarawak yang tidak kenal bahawa sebuah konglomerat yang terbesar, menjadi syarikat induk empayar peniagaan keluarga Taib, mendapat kontrak-kontrak yang lumayan, hingga menyebabkan komuniti perniagaan dari negeri itu menjadi marah.

Apa jenis penipuan yang secara terang-terangan begini? Bagaimana dapat kita menilai kredibiliti cerita kekayaan berbilion ringgit Taib ini? Dalam menghadapi bukti tentang aktiviti rasuah yang begitu luas ini, Mohd Nor terpaksa membuat ugutan kepada mereka yang bertanya, seolah-olah Taib menjadi mangsa tuduhan yang tidak berasas.

Kisah Taib Mahmud ini hanya merupakan salah satu cerita skandal rasuah mega melibatkan pemimpin elit Barisan Nasional yang kerap kali dilindungi oleh institusi penguatkuasa seperti SPRM, polis, Ketua Peguam Negara atau bidang kehakiman.

Sandiwara SPRM yang terbaru ini hanya mengesahkan tidak ada yang berubah sungguhpun Perdana Menteri Najib Tun Razak sering mencanangkan tentang reformasi melalui slogan-slogannya.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails