Friday, April 15, 2011

Altantuya terus menghantui Najib

Wawancara Raja Petra Kamarudin (RPK) oleh TV3 kelmarin dan semalam merupakan salah satu propaganda politik bertujuan untuk membersihkan Perdana Menteri Najib Tun Razak dari imejnya yang tercemar dari peristiwa pembunuhan Altantuya Shariibuu menjelang pilihan raya negeri Sarawak esok.

Wawancara itu berkisar kepada afidavit yang beliau tandatangani pada 18 Jun 2008, di mana beliau mendakwa mendapat tahu bahawa isteri Najib, Rosmah Mansor berada di tempat kejadian dan menyaksikan bagaimana Altantuya diletupkan.

RPK kini mendakwa beliau tidak lagi percaya apa yang beliau percaya dahulu. Mari kita lihat isu ini dengan lebih jelas.

Kesahihan atau tidak afidavit itu, termasuk apa yang dipercaya atau apa yang tidak dipercayai oleh RPK berhubung kes Altantuya, tidak menambah atau mengurangkan sedikit pun awan hitam yang menyelubungi Najib berhubung kes pembunuhan itu.


Persepsi yang negatif terhadap Najib bukan berdasarkan apa yang dikatakan oleh seseorang tetapi ia lebih berpunca dari kegagalan Najib untuk mengendalikan dirinya dengan baik.

Beliau mendapat perlindungan dari institusi-institusi penguatkuasa hingga membantu beliau dari didakwa dan melalui proses undang- undang sehinggakan mereka sanggup mengabaikan tanggungjawab dan bersekongkol dalam perbuatan jenayah.

Kegagalan institusi-institusi inilah termasuk sikap Najib yang berdolak dalih yang menyebabkan timbulnya rasa sangsi di kalangan rakyat tentang penglibatan beliau dalam pembunuhan itu.

Insiden-insiden ini terlalu banyak untuk diketengahkan tetapi memadai dengan menyebut sedikit sahaja daripadanya sebagai peringatan kepada orang ramai.

Bermula dari pihak polis, tidak ada sebab apapun kenapa pihak polis bertindak mengenepikan siasatan terhadap Najib dan pembantu khasnya, Musa Safri ketika mana ketiga-tiga tertuduh berkait rapat dengan Najib.

Dalam kes ini, Musalah yang memberi arahan kepada kedua-dua yang tertuduh untuk “menyelesaikan” masalah Altantuya.

Kegagalan pihak polis kelihatan lebih ketara apabila mereka gagal menyiasat ketiga-tiga afidavit penyiasat persendirian P Subramaniam dan wawancara video oleh tiga peguam kanan.

Maklumat yang disediakan oleh Bala dalam dokumen-dokumen ini bukan sahaja melibatkan Najib (dalam afidavit pertama) tetapi juga menuduh Rosmah dan adik Najib, Nazim memaksa Bala dan keluarganya lari dari negara ini dengan rasuah dan ugutan (sebagaimana yang dirakamkan dalam wawancara video dan dikemukakan menerusi afidavit ketiga).

Afidavit ketiga ialah sebagai jawapan kepada soalan-soalan bertulis daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dikemukakan pada Julai 2010.

Tetapi tidak ada respon dari SPRM walaupun terdapat peringatan bertulis daripada peguam Bala. Apakah sebabnya bagi pihak polis dan SPRM mengambil sikap berdiam diri berhubung dakwaan-dakwaan yang serius ini, yang disokong oleh fakta secara terperinci, terhadap Perdana Menteri dan keluarganya?

Jika Najib dan keluarga tidak bersalah, tidakkah badan-badan penguatkuasa ini akan lekas bangkit dan mencanangkan bahawa Najib dan keluarganya bersih dari tuduhan yang mengaibkan ini?

Senario yang pelik

Senario di mahkamah lebih pelik. Pendedahan dan bukti yang kritikal yang dihadapkan di mahkamah, cepat-cepat ditarik, dan bukannya digunakan untuk mencari kebenaran dan keadilan.

Episod yang kelihatan luar biasa ialah percubaan untuk menyembunyikan bukti-bukti baru yang bukan dilakukan oleh satu dua pihak tetapi oleh ketiga-tiga pihak – pendakwa raya, peguam bela dan hakim.

Bukti-bukti ini termasuk memadamkan rekod imigresen Altantuya dan rakannya dari Mongolia dan dakwaan gambar Najib dan Altantuya bersama tertuduh ketiga sedang menikmati jamuan di sebuah restoran.

Bukti yang terdahulu itu (rekod imigresen) boleh mendedahkan kemungkinan penglibatan pihak paling berkuasa dalam kes ini manakala bukti yang kedua (bergambar) boleh menyanggah penafian Najib (jika dapat dibuktikan) yang berkali-kali bersumpah bahawa beliau tidak kenal dan tidak pernah bertemu Altantuya.

Titik pertemuan kepentingan oleh kesemua pihak kehakiman ini untuk menghilangkan bukti-bukti baru hanya dapat menjelaskan satu perkara – Najib mesti dibawa jauh-jauh dari kes ini.

Adalah jelas bahawa keadilan tidak dapat dilaksanakan melalui hukuman bunuh terhadap kedua-dua yang tertuduh apabila mahkamah tidak peduli tentang matlamat wanita itu dibunuh – dengan cara yang sangat kejam.

Tidak sukar untuk kita mencari sebab kenapa motif pembunuhan tidak pernah disebut dalam mahkamah. Jawapan mudah ialah kerana ia tidak ada.

Kedua-dua tertuduh yang dijatuhi hukuman itu, yang menjadi pengawal peribadi Najib dan dilatih untuk melaksanakan tugas tanpa soal, tidak mempunyai motif mereka sendiri untuk membunuh seseorang yang mereka tidak pernah temui.

Oleh kerana tertuduh ketiga, yang didakwa atas sebab bersubahat dalam pembunuhan itu, dibebaskan kerana kekurangan bukti maka soalan baki adalah, siapakah yang mengarahkan pembunuhan itu?

Bolehkah diterima akal bahawa kedua-dua pengawal peribadi itu telah melakukan pembunuhan tanpa arahan dan tanpa motif?

Logikkah untuk memikirkan bahawa petualang yang sebenar yang merencanakan pembunuhan ini masih bebas dari tindakan mahkamah?

Adalah jelas persoalan pokok dan keraguan yang menyelubungi kes ini masih belum selesai.

Sehingga ianya dapat dijawab dengan kukuh melalui mahkamah yang adil dan pihak polis yang bermaruah, melalui perubahan kepimpinan politik, adalah sukar untuk mengharapkan kembalinya keadilan kepada keluarga Altantuya dan negara.

Dan sehingga itu, Najib tidak boleh menganggap dirinya bebas dari peristiwa pembunuhan Altantuya yang terus menghantuinya.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails