Wednesday, April 27, 2011

1Melayu 1Bumi : Selepas Muhyiddin, Zahid pula menyanggah Najib..

KUALA LUMPUR 27 APRIL : Naib Presiden Umno Datuk Zahid Hamidi meminggirkan Perdana Menteri Najib Tun Razak apabila menyifatkan gerakan 1Melayu 1Bumi yang dicanang oleh Utusan Malaysia sebagai cetusan akar umbi Melayu dan bukan pendapat peribadi pengarang.

“Walaupun Perdana Menteri mengatakan bahawa beberapa isu yang dibangkitkan Utusan adalah pandangan pengarang dan bukannya pendirian kerajaan, tetapi suara Utusan adalah suara kita, suara orang Melayu keseluruhannya, suara denyut nadi dan pemikiran orang Melayu,” kata Zahid yang juga Menteri Pertahanan.


Najib sebelum ini menegaskan gerakan 1Melayu 1Bumi yang dicadangkan oleh Utusan adalah pendapat peribadi pengarangnya dan tidak harus dikaitkan dengan kerajaan pimpinan Umno yang mendokong konsep 1Malaysia.

Timbalannya Muhyiddin Yassin pula berkata Utusan mempunyai hak sepenuhnya membuat cadangan itu dan menolak kritikan parti-parti komponen BN, khususnya MCA yang menyifatkan cadangan itu berbaur perkauman dan membelakangkan dasar-dasar Najib.

Ketika merasmikan mesyuarat agung Kelab Veteran Utusan Melayu di Kuala Lumpur, Zahid, secara beralas, turut memberi sokongan kepada cadangan gerakan 1Melayu 1Bumi yang akan dilancarkan oleh Perkasa di Alor Star Sabtu ini.

Walaupun tidak merujuk kepada cadangan itu secara langsung, Zahid menegaskan Utusan harus berani mengutarakan permasalahan orang Melayu serta penyelesaiannya.

“Salahkah Utusan yang menjadi darah daging orang Melayu menyuarakan rasa sebenar orang Melayu tanpa disaluti rasa dendam terhadap kaum lain, tanpa mengenepikan teras negara kita sebagai sebuah negara majmuk,” kata Zahid.

“Kemajmukkan ini diterima oleh semua tetapi soalnya sekarang adalah usaha pihak tertentu untuk melakukan peminggiran secara sistematik terhadap Utusan yang menjadi suara orang Melayu,” tambah beliau.

Presiden MCA Datuk Chua Soi Lek sebelum ini menegaskan Utusan tidak boleh mendakwa dirinya sebagai suara orang Melayu kerana hanya mempunyai pengedaran kira-kira 200,000 naskah sehari.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hatta Wahari pula menegaskan akhbar kawalan Umno itu lebih merupakan suara pemimpin Umno dan bukannya mewakili masyarakat Melayu, seperti satu waktu dahulu.

Dalam ucapannya Zahid mahu Utusan meneruskan agendanya kerana mendakwa orang Melayu telah diabaikan oleh sebuah parti politik. Zahid tidak menamakan parti itu tetapi dipercayai beliau merujuk kepada PAS.

“ Mereka yang dulunya cukup lantang kini sudah bertukar menjadi liberal. Jadi, untuk mengharapkan mereka terus bersuara bagi mempertahankan kepentingan orang Melayu, saya tidak fikir mereka akan berani lagi bertindak demikian,” kata beliau.

Zahid bagaimanapun tidak mengulas soal Umno ditolak oleh pengundi kaum Melayu pada pilihanraya umum lalu, Mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad menyifatkan parti itu tidak lagi mampu mendokong perjuangan orang Melayu, justeru percambahan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan memperjuangkan agenda kaum itu.

Zahid mempertahankan Perkasa dan Presidennya Datuk Ibrahim Ali, bekas pemimpin Umno yang bertanding atas tiket PAS untuk memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas namun kini menjadi wakil bebas yang kembali menyokong Umno.

“Ada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dianggap sebagai terlalu perkauman dan ada pihak tertentu memberi cadangan serta pandangan kepada kerajaan supaya meminggirkan ahli politik yang menerajui NGO tersebut, sedangkan dia bersuara atas platformnya sebagai ahli politik bebas dan sebagai peneraju kepada sebuah NGO demi kepentingan orang Melayu,’ kata Zahid.

Dengan kekangan-kekangan begitu, menurut Zahid, amat penting untuk Utusan meneruskan agendanya.

“Namun pihak yang tidak senang dengan Utusan seolah-olah menganggap isu-isu mengenai agenda Melayu tidak lagi relevan, seolah-olah isu Melayu ini adalah isu yang cauvinis bagi golongan bukan Melayu,” kata beliau.

“Ada media, ada akhbar yang memaparkan isu kaum tertentu tetapi mengapa mereka tidak pula dianggap sebagai cauvinis,” kata Zahid.

Antara rungutan utama pelbagai pihak terhadap Utusan ialah laporan-laporan mengenai pembangkang, khususnya Anwar Ibrahim sering diputar belitkan demi mempengaruhi pengundi Melayu.

Isu-isu di kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat diperbesarkan manakala kepincangan kerajaan negeri pimpinan BN termasuk Sarawak di bawah Abdul Taib Mahmud ditutup daripada tatapan umum.

Rekod Umno-BN menangani soal kemiskinan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak serta kos sara hidup yang melambung yang semakin menghimpit penduduk tidak mendapat perhatian Utusan.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails