Wednesday, April 20, 2011

1Malaysia tak ada makna jika Melayu berpecah - Pengarang Utusan

Gentar dengan kemenangan besar DAP di Sarawak, akhbar Utusan Malaysia hari ini mencadangkan Umno melancarkan gerakan 1Melayu, 1Bumi untuk mempertahankan kuasa politik orang Melayu.

Dalam membuat cadangan berkenaan yang memperlekehkan gagasan 1Malaysia Datuk Seri Najib Razak, akhbar kawalan Umno itu berkata kemenangan DAP di 12 daripada 15 kerusi di Sarawak membuktikan “orang Cina telah bersatu, malah orang Cina telah pun bersatu sejak dulu lagi".

“Apa yang Umno harus lakukan sekarang, di masa yang amat terdesak sekarang, ialah melancarkan gelombang perpaduan bangsa – 1 Melayu, 1 Bumi,” kata timbalan ketua pengarang Utusan, Datuk Zaini Hassan.


“Tiada makna adanya 1 Malaysia, jika orang Melayu sendiri pun berpecah,” kata Zaini (gambar atas).

Beliau membuat saranan itu sehari selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein mempertahankan tindakan Utusan menggesa BN mengabaikan pengundi Cina berikutan keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang memihak DAP.

Walaupun Utusan dibidas oleh pelbagai pihak kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman itu, Hishamuddin yang juga naib presiden Umno berkata cadangan akhbar itu tidak keterlaluan.

Pertahankan kuasa politik

Dalam serangan terbaru terhadap keputusan pengundi Sarawak memilih DAP dan bukannya SUPP sebagai wakil rakyat mereka, Utusan berkata masa sudah sampai untuk orang Melayu mempertahankan kuasa politik mereka.

“Hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuh oleh orang Cina, yang lain semua sudah. Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu 'Undi untuk Ubah', 'Enough is Enough' (Cukuplah) dan 'Selamatkan Malaysia'.

“Sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru,” kata Zaini.

“Orang Cina sebenarnya amat beruntung sekali berada di bumi Malaysia ini. Mereka telah menguasai segala-galanya. Sepuluh teratas orang mereka adalah bilionaire Malaysia. Sebahagian besar kedai yang ada di atas muka bumi Malaysia ini milik mereka. Hampir semua pelajar yang belajar di universiti swasta dan IPTS ternama dan mahal-mahal di negara ini rata-ratanya orang mereka.” tambah beliau

1Melayu perlu diutamakan

“DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina. MCA gagal dan SUPP pun gagal. Itu hakikat atas kertas,’ Pilihan Raya Umum Ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka (pengundi Cina),” tambah beliau.

Zaini berkata Umno perlu melancarkan gerakan 1Melayu, IBumi dan bergabung dengan puluhan NGO-NGO Melayu yang kini tumbuh bagaikan cendawan di atas bumi Malaysia ini.

“Perlu diingat NGO-NGO itu wujud kerana mereka dahagakan wadah perjuangan untung nasib bangsa semakin ditinggalkan. Umno harus tarik pertubuhan sukarela ini ke hadapan dan menjadi juara semula dalam soal ini,” kata beliau.

Akhbar itu berkata gerakan 1Melayu harus diwujudkan sekali pun jika tidak disokong oleh PAS.

Menurut Utusan, keperluan menubuhkan gerakan 1Melayu harus menjadi keutamaan berbanding 1Malaysia yang lebih merupakan dasar jangka panjang negara.

Zaini mendakwa parti komponen Cina dalam BN pun tidak akan marah jika Umno melancarkan gagasan 1 Melayu, 1 Bumi kerana bagi mereka “orang Cina telah pun bersatu” (di bawah DAP).

Menurut beliau Umno harus meniupkan gagasan 1 Melayu, 1 Bumi ini segera bagi memastikan kaum Melayu “menguasai semula politik yang semakin terhakis daripada tangan mereka.”

“Oleh itu menjadi kewajipan Umno…lancarkan segera slogan 1 Melayu, 1 Bumi bagi menggerakkan semula gelombang kebangsaan bangsa itu.” kata Zaini.

Susulan keputusan pilihanraya negeri Sarawak, Zaini berkata “kini terletak dalam tangan Umno untuk menentukan hidup atau mati bangsa (Melayu) ini," tambah beliau.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails