Sunday, April 17, 2011

15 Kerusi, Harapan Baru untuk Pakatan

KUALA LUMPUR, 17 April — Walaupun hanya menang 15 kerusi, namun penganalisis politik berpendapat ia adalah satu keputusan yang tidak dijangkakan dan menunjukkan Pakatan Rakyat berjaya mengukuhkan kedudukan di Sarawak.

Bagaimanapun ketika dihubungi , penganalisis berkata hanya DAP yang menunjukkan peningkatan sokongan yang memberangsangkan berbanding PKR dan PAS.

Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DAP menyumbang 12 kemenangan, PKR tiga manakala PAS tidak memperoleh sebarang kerusi.

Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dengan memperoleh kemenangan lebih dua pertiga iaitu 55 kerusi DUN.


Bebas memenangi satu kerusi.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pilihan raya negeri 2006 — yang mana ketika itu BN memperoleh 62 kerusi.

“Bagi Pakatan Rakyat mereka mengukuhkan lagi kedudukan terutamanya DAP yang mana mereka telah dapat 12 kerusi berbanding sebelum ini enam dan ini menunjukkan pengundi masih bersama Pakatan di kawasan bandar.

“Peningkatan sokongan ini menunjukkan BN perlu melakukan sesuatu untuk menyekat sokongan kepada Pakatan Rakyat,” kata pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian.

Kata beliau, walaupun Pakatan Rakyat merupakan parti dari Semenanjung, namun jumlah kerusi yang dimenangi perikatan tiga parti itu menunjukkan perubahan sudah berlaku.

“Bagi Pakatan Rakyat walaupun berasal dari Semenanjung Malaysia, namun mereka nampaknya sudah mula diterima, malah kita boleh lihat bagaimana DAP yang sebelum ini menang enam kerusi kini sudah bertambah.

“Peningkatan ini juga mungkin menunjukkan pengundi mahukan keseimbangan ke atas DUN Sarawak, namun begitu nampaknya bukan semua pengundi masih boleh terima parti yang berasal dari Semenanjung Malaysia,” katanya.

Jelas Sivamurugan, faktor utama kemenangan besar BN adalah sumbangan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membantu jentera parti itu.

Beliau juga berkata, BN perlu melaksanakan setiap janji yang dibuat agar momentum kemenangan akan dapat diteruskan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Bagi saya faktor kemenangan BN adalah Najib dan Muhyiddin yang telah lakukan kempen yang hebat untuk pastikan Sarawak kekal menjadi simpanan hayat BN.

“Tapi cabarannya adalah untuk pastikan apa yang dijanjikan semasa kempen dilaksanakan supaya momentum itu dapat dikekalkan dalam pilihan raya umum ke-13.

“Mungkin pengundi di Sarawak mahu memberikan satu lagi peluang kepada BN supaya jurang antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan terutamanya jurang antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri selain mahu melihat Najib melakukan lebih banyak perubahan,” katanya.

Malam tadi Najib memberi isyarat jelas bahawa kemenangan selesa BN dalam pilihan raya negeri Sarawak akan dijadikan kayu ukur dan jambatan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Kata Najib, kemenangan besar BN itu akan diterjemahkan pada pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Bagi Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat, DAP menunjukkan parti itu berjaya mendapatkan sokongan pengundi Cina di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Jelas beliau, keputusan yang diperoleh Pakatan Rakyat itu masih belum dapat untuk bersaing dengan BN yang mempunyai pengaruh yang kuat di Sarawak.

“Saya melihat keputusan itu secara keseluruhannya kita lihat memang BN dapat majoriti dua pertiga dan ini menunjukkan kemenangan besar BN.

“Namun kalau kita lihat kawasan yang dimenangi DAP menunjukkan peningkatan DAP, begitu juga PKR yang meningkat kepada DAP.

“Ini menunjukkan peningkatan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya Sarawak tapi secara keseluruhan BN masih berada dalam keadaan cukup selesa,” katanya.

Menurut Samsul Adabi lagi, banyak faktor yang menyumbang kepada kemenangan Pakatan Rakyat di 15 kerusi itu termasuk kegagalan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang “tewas” besar kepada DAP.

“Terlalu awal untuk ulas kerana kawasan BN yang merosot angka tidak besar... begitu juga kerana penerimaan Pakatan Rakyat yang mana kalau kita lihat banyak faktor lain terutamanya faktu undi masyarakat Cina yang kita lihat banyak beri kemenangan kepada DAP.

“Kalau nak kata keseluruhan rakyat Sarawak sudah menerima Pakatan Rakyat, masih tidak boleh katakan, tapi kalau undi masyarakat Cina kepada DAP boleh kita lihat.

“Ini kerana SUPP yang mewakili masyarakat Cina di Sarawak gagal menyelesaikan masalah kepimpinan dalam parti itu dan telah mengalami kekalahan besar menyebabkan pengundi Cina telah pergi kepada DAP dan bukan BN,” katanya.

Sementara itu, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata kemenangan dua pertiga BN memang sudah dijangkakan, namun Pakatan Rakyat berjaya menang lebih kerusi.

“Saya ingat ia (kemenangan BN) sudah dijangkakan dan kerusi yang diperoleh sudah dijangka, awal cuma rasa risau dan bimbang.

“Dan yang saya lihat DAP berjaya menang 12 kerusi... saya juga tidak jangka PKR boleh dapat tiga kerusi, saya ingat ia adalah kerana faktor protes kerana tidak berpuas hati dengan BN bukan kerana minat kepada PKR,” katanya.

Selain itu, beliau percaya BN akan memperoleh kemenangan lebih besar sekiranya SUPP tidak tewas banyak kerusi.

“Sepatutnya BN boleh menang dengan lebih besar, kemenangan DAP sudah dijangka sebab trend pengundi Cina memang nampak begitu tegas kepada DAP, ia bukan undi protes bagi DAP, PKR mungkin.

“Kemenangan Pakatan Rakyat bergantung kepada DAP, yang saya rasa PAS dan PKR gagal terangkan manifesto Pakatan Rakyat, isu (Datuk Seri) Anwar Ibrahim juga memberi sumbangan kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Datuk Dr Zainal Kling pula menjelaskan kemenangan 15 kerusi itu masih belum menggambarkan majoriti besar pengundi Sarawak menerima Pakatan Rakyat.

“Saya fikir pilihan raya kali ini beri harapan kepada Pakatan Rakyat terutamanya sekali DAP dan PKR, yang mana DAP berjaya jatuhkan SUPP.

“Namun Pakatan Rakyat secara seluruh belum (diterima) tapi DAP dan PKR sudah mula bertapak di sana sudah ada tapak untuk bergerak lebih menyakinkan mereka,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails