Tuesday, March 1, 2011

UMNO/BN meniru lagi..

Aku rasa macam nak pos kat Najib saja buku jingga yang aku simpan tu.. biar dia tiru semua sekali apa yang ada dalam buku tu..




Tawaran Baru pendidik diumum BN tiru Buku Jingga Pakatan, dakwa PAS
Oleh Syed Mu’az Syed Putra

JASIN, 1 Mac — PAS mendakwa Barisan Nasional (BN) meniru Buku Jingga Pakatan Rakyat dengan mengumumkan anugerah “Tawaran Baru” bernilai RM18.4 juta kepada pengetua dan guru, yang majlis penyampaiannya disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini semalam.


Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata, anugerah “Tawaran Baru” itu sebenarnya bertujuan untuk menarik sokongan warga pendidik dalam negara menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Pengumuman ini dibuat sebagai langkah untuk menarik sokongan warga pendidik di negara ini, khususnya sempena pilihan raya kecil Merlimau dan pilihan raya umum akan datang.

“Sedikit kelainan dengan janji 100 hari Pakatan Rakyat ialah melibatkan hampir 500,000 guru sedangkan janji kerajaan BN hanya melibatkan sebahagian kecil komuniti guru-guru,” katanya pada sidang media di Markas PAS di sini.

Pemberian berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM18.4 juta di mana skim baru iitu sebahagian daripada dana RM2.492 bilion yang disalurkan kepada sekolah dan jabatan-jabatan pelajaran di seluruh negara.

Seramai 12,141 guru yang mencatat prestasi serupa di semua sekolah berkenaan turut menikmati ganjaran RM1,800 seorang manakala guru selebihnya menerima RM900 seorang.

Dalam satu program penganugerahan yang diadakan di Merlimau semalam, seramai 586 pengetua menerima RM7,500 seorang.

Menurut Idris, keputusan itu dibuat sebagai langkah untuk menarik sokongan warga pendidik di negara ini, khususnya sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Katanya, Muhyiddin adalah orang yang paling lantang mengkritik program 100 Hari Pakatan Rakyat dengan mengatakan ia akan memberikan implikasi terhadap kewangan negara.

“Sedikit kelainan dengan janji 100 hari Pakatan Rakyat ialah melibatkan hampir 500,000 guru, sedangkan janji kerajaan BN hanya melibatkan sebahagian kecil komuniti guru-guru.

“Rakyat akan beruntung sekiranya parti kerajaan mempunyai saingan yang kuat dalam politik. Maka sudah semestinya mereka akan mengikut rentak saingan mereka, contohnya anugerah kepada guru besar,” kata Idris.

Pada sidang media itu juga, Idris meminta agar BN menghentikan segala usaha untuk mencipta provokasi termasuk perbuatan khianat yang dilakukan.

Semalam sebuah pentas berdekatan bilik gerakan DAP yang dibina untuk satu program pada 4 Mac ini telah dibakar dan pada lewat pagi tadi cermin kereta seorang penduduk pula dipecahkan apabila diletakkan di dihadapan bilik gerakan DAP di pekan Merlimau di sini.

Dalam kejadian semalam, permaidani pentas DAP musnah tetapi bahagian lain pentas tetap utuh kerana ia diperbuat daripada keluli. Sebuah botol kosong dengan kesan petrol juga ditemui pada tempat kejadian.

Selain itu, pagi ini PAS pula mengesan kain rentang yang tertulis “Undi PAS Masuk Syurga” dan “PAS Melaka Fahaman Pluralisme Agama Datuk Seri Anwar Ibrahim” yang didakwa dilakukan BN.

Kesemua empat kain rentang itu didapati tergantung di Permatang Serai dan dihadapan politeknik Merlimau di sini.

“Kita kesan kain rentang ini digantung pagi tadi dan saya minta agar BN jangan buat kerja ini lagi dan bertanding dalam bentuk yang sihat.

“Kita sudah turunkan semua kain rentang ini dan kita percaya ia dilakukan untuk menakutkan pengundi-pengundi di Merlimau,” kata Idris.

Kata Idris, kain rentang itu adalah satu perbuatan khianat yang dilakukan BN untuk menjatuhkan imej PAS.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Melaka Adly Zahari mengingatkan BN agar menghentikan “politik samseng” semasa kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau yang sudah masuk hari keempat hari ini.

“Kita minta BN hentikan politik samseng, sebelum ini pentas DAP dibakar, malam tadi kereta pula kena.

“Politik (samseng) ini digunakan BN untuk menakutkan-nakutkan pengundi-pengundi, kita minta BN hentikan sebelum PAS ambil tindakan sendiri,” katanya.

Kata beliau, polis harus tegas dalam perkara ini dan jangan mengamalkan sikap berat sebelah dalam perkara ini.

“Saya minta pihak polis tegas, BN juga perlu hentikan provokasi ini.

“Provokasi ini tak untungkan sesiapa pun, kalau buat samseng atau ugut apa faedahnya kepada rakyat?” kata Adly sambil menambah, PAS tidak akan membalas terhadap provokasi yang dicipta BN.

“Kita masih boleh bersabar tapi sampai bila? Jadi kita minta supaya ia dihentikan,” tambah Adly.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad, ahli jawatankuasa Umno Jasin dan calon PAS Yuhaizat Abdullah, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails