Thursday, March 31, 2011

UMNO Hanya Pertahan Agama Bila Ada Kepentingan

SHAH ALAM 31 MAC : Sikap membelakangkan peranan dan teguran dari mufti dan pemimpin agama jelas menunjukkan wajah sebenar Umno dalam meneruskan kelangsungan politik mereka yang kian dilupakan rakyat, kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Dr Muhammad Nur Manuty.

Menurut Muhammad, walaupun teguran dan peringatan telah diberikan dari kalangan ahli agama kepada parti pemerintah namun sikap tidak ambil pusing yang dipamerkan membuktikan, pimpinan Umno-BN hanya mendokong agama apabila ia selari dengan agenda mereka.


"Mereka hanya memperalatkan mufti, mereka tidak menghormati mufti pada hakikatnya, apabila kepentingan mereka memihak kepada politik, mufti tidak digunakan, apabila kepentingan dari segi agama, (barulah) mufti diutamakan," katanya.

Muhammad berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menegaskan pendedahan rakaman video seks yang didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaibkan Ketua Pembangkang itu kerana ia belum dibuktikan kebenarannya.

Pendedahan mengenainya dibuat oleh tiga individu yang menggelarkan diri mereka sebagai "Datuk T" pada 21 Mac lalu.

Mereka terdiri daripada bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Shuib dalam perkembangan terbaru mengakui bahawa beliau bertanggungjawab dalam pendedahan video seks fitnah ke atas Anwar.

Selain Harussani, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya juga menggesa umat Islam menyiasat dahulu akan kesahihan klip video 21 minit itu sebelum membuat tuduhan membuta tuli dan menjatuhkan maruah individu lain.

"Nasihat saya, dalam al-Quran, Allah berfirman dalam surah al-Hujurat, apabila datang berita daripada orang fasik, hendaklah kamu selidik dahulu berita itu.

"Dan kalau tidak cukup empat orang saksi, sepatutnya penuduh dikenakan hukuman Qazaf. Hukum orang fasik ini, dia tak layak lagi jadi saksi untuk sebarang kes kerana sudah hilang kredibeliti,"kata Dr Juanda yang dipetik dari portal Malaysiakini.

Mengulas kenyataan mufti yang tidak mendapat respon balas dari pimpinan Umno-BN, Muhammad berkata, ia perbuatan normal bagi mereka yang hanya mengejar kekayaan dunia, pangkat dan darjat sehingga sanggup melakukan apa jua untuk menjatuhkan seteru mereka.

"Mereka tahu Anwar tidak melakukan perkara itu, tetapi oleh kerana mereka rakus dengan politik untuk menjatuhkan karier poltik Anwar di bumi Malaysia, memang Umno tidak kisah dosa pahala demi kepentingan kegelojohan, ketamakan dan kerakusan politik, mereka sangup buat apa sahaja," katanya.

Muhammad turut menyatakan kekesalannya terhadap media di negara ini yang dilihat semakin terhakis ketelusannya apabila hanya memberi liputan yang memihak kepada parti pemerintah.

"Media itu tidak lagi menjunjung kebenaran, media bukan lagi alat untuk memperkatakan lagi kebenaran, sebaliknya ahanya menjadi alat kepada warga politik Umno yang rakus, inilah hakikatnya di negara kita sekarang, ianya amat mendukacitakan,"tambahnya lagi.


TVS News

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails