Monday, March 14, 2011

Tuduhan Liwat : Pendakwa raya diperkuda Ahli Politik?

KUALA LUMPUR: Permohonan pendakwa raya untuk mendapatkan sampel DNA Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan mereka dieksploitasi ahli politik tertentu, kata Karpal Singh.

(Gambar: Anwar dibantu isteri dan anak sulungnya menaiki tangga ke mahkamah)

Beliau yang mengetuai pasukan peguam bela Anwar percaya pendakwa raya kes Fitnah II mahu menutup kes itu, tetapi membatalkan hasrat akibat campur tangan politik.

“DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dieksploitasi ahli politik. Beliau (Yusof) mahu menutup kesnya selepas pegawai penyiasat memberi keterangan minggu lepas.


“Malah, beliau memberi isyarat kepada mahkamah untuk berbuat demikian minggu lalu,” katanya di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Namun, beliau terkejut kerana pendakwa raya tiba-tiba berubah fikiran dan membuat dua permohonan di mahkamah, hari ini.

Pendakwa raya hari ini memohon Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah mengkaji semula keputusan menolak bukti DNA yang diperoleh polis secara tipu muslihat ketika Anwar ditahan.

Mereka juga memohon mahkamah supaya mengarahkan Anwar memberi sampel darah bagi pemprofailan DNA dan proses penghujahan kedua-dua berlangsung hari ini.

“Sangat jelas, ada seseorang meminta beliau (Yusof) berbuat demikian,” kata Karpal lagi.

Mengulas tindakan Perkasa, Gaps dan Suara Anak-anak Mamak Malaysia yang berdemontrasi meminta Anwar menyerahkan DNA, Karpal mengingatkan mereka supaya tidak campur tangan dalam proses perbicaraan.

“Perkara ini sangat serius. Ia boleh jadi penghinaan kepada mahkamah. Hakim sudah memberi amaran agar pihak luar tidak masuk campur sehinggalah hakim membuat keputusan berdasarkan bukti-bukti yang ada.

“Saya tidak teragak-agak membawa pihak berkenaan ke mahkamah dan sumbat mereka ke penjara,” kata Karpal.

Beliau juga menganggap keputusan Anwar untuk tidak menyerahkan sampel DNA sebagai tepat bagi mengelak kemungkinan terdedah kepada eksploitasi seperti dalam kes Fitnah I.

“Pada 1998, terdapat salah guna sampel DNA yang diambil. Anwar membuat keputusan sangat tepat untuk tidak memberikan sampel darahnya,” katanya.

Pada kes Fitnah I, hakim ketika itu menolak bukti DNA yang dikemukakan pendakwa selepas pegawai polis yang menyiasat kes itu, ASP Rodwan didapati meletakkan DNA Anwar pada tilam yang dikemukakan sebagai bukti di mahkamah.

Perbicaraan itu, akhirnya berlangsung berdasarkan surat-surat tuduhan yang ditulis saksi pendakwa serta keterangan lisan semata-mata. Antaranya surat Ummi Hafilda Ali.

Karpal berkata, undang-undang yang sedia ada tidak membenarkan tertuduh untuk menyerahkan DNA dan jika mereka dipaksa berbuat demikian, tertuduh boleh mengambil tindakan saman boleh dibuat terhadap pendakwa atau polis.

“Undang-undang dalam negara ini jelas. Anda tidak boleh memaksa seseorang itu menyerahkan DNA mereka. Undang-undang menyatakan jika kita dipaksa memberikan sampel darah, kita boleh menyaman individu yang memaksa kita berbuat demikian,” katanya.


Keadilandaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails