Friday, March 18, 2011

Sidang DUN Perak, Diharap Tiada Sekatan Polis

KUALA LUMPUR 18 MAC: Pakatan Rakyat Perak meminta jaminan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (Perak) pada April ini bebas daripada kawalan polis.

Ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin pada sidang media di parlimen semalam berkata, jaminan itu diminta Pakatan Rakyat ekoran setiap kali berlangsungnya sidang DUN di negeri berkenaan, pasukan polis dikerah untuk mengadakan kawalan ketat.


Ujar beliau, sekiranya kerajaan Perak kini merasakan mereka kerajaan yang sah, maka tidak perlu kawalan polis di sekeliling bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK).

“Kami nak mintak supaya KDN beri janji pada sidang dun kali ini tidak ada pihak keselamatan polis. Kalau ada bermakna dia melanggar Kanun 124, mengganggu ahli dewan undangan negeri untuk masuk ke dalam dewan melaksanakan tugas kami. Jadi itu yang kami minta untuk menteri berlaku adil dan menunjukkan kerajaan haram ini perlu dipelihara oleh polis. Jika kerajaan ini haram biar rakyat menentukan,” katanya.

Tambahnya yang juga Adun Pasir Panjang, Menteri Besar Perak Datuk Zambry Abdul Kadir juga masih belum menjawab soalan-soalan yang dikemukakan Adun dari Pakatan Rakyat pada sesi yang lepas.

“Kami telah diminta menghantar soalan-soalan lisan dan bertulis dan tarikh akhir pada 15 Mac.untuk sesi akan datang. Malangnya soalan-soalan lisan kami pada sesi yang lepas pun masih tidak dijawab,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Khoo Ham menggesa rakyat Perak tidak tertipu dengan sistem demokrasi yang dikatakan masih dijalankan secara telus dan adil.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak akan diadakan pada 5 April 2011.



TVS News

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails