Tuesday, March 22, 2011

Siasat siapa dibelakang Datuk 'T' - AMK Permatang Pauh.


Saudara Shukri dan Afzal membuat laporan Polis terhadap Datuk 'T'

Satu laporan Polis telah dibuat oleh AMK Permatang Pauh di Balai Polis Penanti bagi mendesak supaya pihak Polis menyiasat Datuk ‘T’ dan dalang disebalik tayangan Video Lucah di sebuah hotel ternama di Ibu Negara.

Dalam satu kenyataan Media yang dibacakan oleh Naib Ketua 1 AMK Permatang Pauh, Saudara Mohd Shukri Abd. Hamid, AMK Permatang Pauh mendesak agar pihak Polis menjalankan siasatan terhadap Datuk ‘T’ dan siapa dalang yang berada dibelakangnya sehingga beliau begitu berani menganjurkan tayangan video lucah di sebuah hotel ternama di ibu kota.


Pihak Polis juga digesa melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang disandarkan oleh rakyat kepada mereka sesuai dengan motto ‘Integriti Amalan Kita’ yang terpampang di lencana yang tersemat didada mereka.



Saudara Afzalmenunjukkan laporan polis yang dibuat.

KENYATAAN MEDIA
AMK PERMATANG PAUH

“ Siasat siapa di belakang Datuk T ”

Semalam satu lembaran baru sejarah telah tertulis di Malaysia, sebagai sebuah Negara Islam kita telah menjadi yang pertama dalam Negara-negara Islam membenarkan satu Tayangan Perdana sebuah filem lucah di sebuah Hotel yang bertaraf lima bintang iaitu Carcosa Seri Negara.

Boleh dikatakan hampir seluruh editor media baik media cetak mahupun media alternatif samada yang Pro UMNO mahupun Pro PR dijemput untuk menyaksikan tayangan perdana filem lucah yang dianjurkan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Datuk ‘T’.

Tindakan Datuk ‘T’ menganjurkan tayangan perdana filem lucah itu seolah-olah direstui atau diberikan permit khas oleh pihak berkuasa kerana kita melihat tiada sebarang sekatan atau halangan yang dikenakan terhadap tayangan itu.

Adalah mustahil untuk mengatakan pihak berkuasa tidak tahu menahu akan tayangan perdana filem lucah itu kerana menterinya sendiri iaitu Menteri Dalam Negeri telah mengeluarkan kenyataan mengatakan sesiapa yang berasa teraniaya dengan tayangan filem lucah itu boleh membuat laporan polis.

Timbul persoalan disini apakah pihak berkuasa kita hanya bertindak berdasarkan laporan yang dibuat sedangkan jenayah atau salahlaku itu sedang berlaku dihadapan mata? Atau mungkin tayangan filem lucah yang cuba untuk mengaibkan pemimpin utama pembangkang dan keluarganya itu adalah dibenarkan daripada segi undang-undang.

Najib pula tanpa ditanya menyatakan dalam tweeternya bahawa pihak polis tidak terlibat dalam rakaman video lucah aksi seks pemimpin pembangkang itu.. hairan.. mengapa Najib juga kelihatan tergesa-gesa menafikan keterlibatan pihak polis tanpa ditanya?

Tetapi perlu kita ketahui tugas polis adalah menguatkuasakan undang-undang negara. Namun dengan membiarkan Datuk ‘T’ menganjurkan tayangan perdana filem lucah itu seolah-olah mereka memejamkan mata terhadap satu jenayah yang sedang berlaku.

Mungkin dalam hal ini pihak berkuasa kita telah dikilas tangannya oleh pihak yang lebih berkuasa dari pihak berkuasa itu sendiri..

Jika benar lelaki yang dikatakan berperut buncit itu adalah pemimpin utama pembangkang yang sedang melakukan hubungan seks dengan seorang pelacur di sebuah hotel di tengah-tengah ibu kota apa perlunya Datuk ‘T’ menayangkan video itu kepada wakil media selain daripada untuk mengaibkan pemimpin utama pembangkang dan keluarganya sahaja..

Agak janggal juga apabila Datuk ‘T’ tidak melaporkan kepada pihak berkuasa akan penemuan rakaman video aksi seks pemimpin utama pembangkang itu kepada pihak berkuasa, tetapi menayangkannya kepada wakil media.

Tujuannya jelas, iaitu hanya mahu mengaibkan pemimpin utama pembangkang dan keluarganya semata-mata. Kenapa Datuk ‘T’ tidak mahu menyerahkan salinan rakaman itu kepada pihak berkuasa tetapi mahu menyerahkannya kepada NGO untuk dilakukan analisa akan keaslian video itu? Adakah Datuk ‘T’ meragui atau memandang rendah akan keupayaan pihak polis kita?

Tindakan Datuk 'T' ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada agenda politik yang sedang dijalankannya kerana beliau telah memberikan tempoh selama tujuh hari kepada pemimpin utama pembangkang dan isterinya untuk meletak jawatan dari parti politik jika terbukti benar lelaki di dalam video itu adalah pemimpin utama pembangkang.

Datuk ‘T’ juga berkata rakaman aksi seks pemimpin utama pembangkang itu ditemui disebuah hotel yang diketahuinya menjalankan kegiatan tidak bermoral iaitu menawarkan perkhidmatan seks dan juga spa ini menunjukkan kepada kita semua betapa sebagai seorang warganegara Malaysia Datuk ‘T’ amat tidak bertanggungjawab dengan membiarkan perkara begitu tanpa melaporkan kepada pihak berkuasa.

Persoalan utama di sini ialah siapa Datuk ‘T’ yang begitu berani menganjurkan tayangan perdana filem lucah di sebuah hotel ditengah-tengah ibu Negara tanpa mendapat halangan dari pihak berkuasa?

Pihak hotel iaitu Carcosa Seri Negara juga perlu dipersalahkan kerana membiarkan premis perniagaannya dipergunakan sewenang-wenangnya sebagai tempat untuk menayangkan tayangan video lucah. Sepatutnya premis perniagaan perlu memenuhi etika sosial daripada mengejar keuntungan yang tidak bermoral.

Biasanya kita melihat pihak berkuasa amat tegas dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat tetapi bertindak sebaliknya jika ianya adalah pemimpin dan penyokong UMNO/BN..

Jadi dalam hal ini.. siapa dibelakang Datuk ‘T’?


MOHD SHUKRI ABD HAMID P.J.K
NAIB KETUA 1
AMK PERMATANG PAUH

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails