Tuesday, March 8, 2011

Saya keturunan India, tapi mengaku Melayu - Mahathir

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mempunyai darah keturunan India dalam badannya tetapi mempertahankan beliau masih seorang Melayu dan “bangga” kerana status itu.

“Saya mengaku ada (darah) India atau lebih tepat lagi darah Asia Selatan mengalir dalam urat saya, tetapi dari bahagian mana di benua kecil India nenek moyang saya datang, saya tidak tahu,” kata beliau dalam buku autobiografinya “A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad.”


“Saya seorang Melayu dan bangga kerana itu. Saya seorang Melayu bukan setakat atas kertas. Dari segi sentimen dan semangat, saya juga seorang Melayu,” kata beliau dalam memoir 809 halaman ini.

“Ada yang mendakwa bapa saya Malayali dan fasih berbahasa Tamil dan Malayalam.

“Ada yang menulis beliau seorang Hindu yang menganut Islam untuk berkahwin dengan ibu saya.

“Yang lain mengatakan mereka ada melihat dokumen yang dengan jelas mengatakan etnik saya,” kata bekas perdana menteri ini.

“Hampir setiap orang Melayu di Malaysia mempunyai sedikit darah bukan Melayu,” kata beliau sambil menambah, ia tidak bermakna mereka kurang Melayu.

Dr Mahathir berkata kebanyakan orang Melayu tidak menyimpan asal usul mereka meskipun mereka yang mempunyai darah Arab boleh mengesan keturunan mereka sehingga Yemen dan tahu keluarga asal mereka.

Sehubungan itu kata Dr Mahathir, menjadi orang Melayu bukan lagi persoalan keturunan tetapi satu ikatan perundangan.

“Dari segi perundangan, seorang Melayu didefinisikan sebagai seorang yang bercakap bahasa Melayu, amalkan budaya orang Melayu dan beragama Islam,” katanya.

Oleh itu katanya, mereka yang memenuhi syarat-syarat itu adalah orang Melayu dan layak untuk menikmati “sesetengah hak” di bawah lunas perundangan.

Sejak beberapa tahun lalu Dr Mahathir meningkatkan kelantangannya dalam mempertahankan hak perlembagaan orang Melayu dan dikritik kerana sealiran dengan kumpulan pendesak hak orang Melayu seperti Perkasa.

Ekoran pendirian itu bekas perdana menteri ini dituduh sebagai rasis — label yang beliau menafikan berulang kali.

Beliau menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails