Saturday, March 19, 2011

Sarawak! Adakah anda mahu menjadi setinggan sampai mati?

Oleh Hazel Lee

MIRI– Miri memerlukan lebih banyak tanah dan peruntukan bagi menempatkan lebih 4,000 penduduk setinggan yang kebanyakkan menetap di sepanjang Sungai Miri.

Statistik Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Miri terkini mendedahkan, terdapat lebih 4,000 penduduk setingggan tinggal di Kampung Baru Pujut 7, Kampung Pujut Sungai Adong, Kampung Merapak Pujut 8 dan Kampung Damai Jaya, Piasau Utara.

Pemandangan rumah-rumah setinggan yang didirikan di sepanjang Sungai Miri.



Tinjauan Sarawak Update mendapati, majoriti daripada penduduk itu sudah menetap di kawasan setinggan berkenaan sejak 20 hingga 35 tahun yang lalu, namun sehingga hari ini hanya sebilangan kecil yang mengambil inisiatif membeli rumah sendiri.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Pujut 7, Ding Lah berkata, majoriti penduduk yang tinggal di kawasan Kampung Baru Pujut ialah kaum Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah manakala selebihnya Melanau, Bidayuh, Iban dan Cina.

“Kami merayu kepada kerajaan untuk menyediakan lot tanah kerana kebanyakkan daripada mereka daif dan sudah menetap di kawasan setinggan itu lebih 35 tahun yang lalu,” katanya sambil menambah sebanyak enam keluarga kini ditempatkan di Tudan Desaras Fasa 6 berikutan pembinaan jambatan Pujut 7 yang baharu.

Pemandangan rumah-rumah setinggan yang didirikan di sepanjang Sungai Miri.

Walaupun kawasan setinggan, namun kerajaan bermurah hati menyediakan kemudahan seperti bekalan air, jalan dan tadika perpaduan.

Mengulas perkara ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Andy Chia berkata, kerajaan memerlukan tempoh tertentu sebelum dapat menempatkan semua penduduk setinggan di bahagian Miri berikutan kekurangan dana dan tanah.

“Tidak semua setinggan dapat ditempatkan semula dalam masa terdekat, namun kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk memindahkan mereka dari masa ke semasa,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk setinggan dari Kampung Baru Pujut 7 di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Pujut.

Beliau memberitahu, sebelum ini kerajaan telah menempatkan beberapa ribu penduduk setinggan di Bukit Kanada ke Tudan Desaras Fasa 6 manakala ribuan lagi masih tinggal di kawasan setinggan.

Katanya, kerajaan melalui JTS kini terus memantau bagi memastikan tiada lagi penempatan setinggan yang baru diwujudkan.

“Isu penempatan setinggan ini merupakan cabaran besar kepada kerajaan dan kita berharap penduduk setinggan sama-sama mencari jalan untuk membaiki taraf hidup mereka,” katanya.

Andy memberitahu, terdapat juga ahli-ahli SUPP sebelum ini tinggal di kawasan setinggan namun mereka berdikari sehingga mampu membeli rumah yang lebih selesa.

Mengenai permintaan Kampung Baru Pujut 7 untuk ditempatkan semula, Andy memberi jaminan akan mengemukakan perkara itu kepada JTS untuk tindakan sewajarnya dan beliau berharap akan mendapat maklumbalas bulan depan.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails