Wednesday, March 9, 2011

Rakyat perlu nilai Muhyiddin

PETALING JAYA: Rakyat perlu menilai sikap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Kelantan mengharamkan judi loteri di negeri tersebut, kata Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad.

Beliau berkata, PAS juga yakin kenyataan itu dibuat ekoran desakan taikun-taikun perjudian di negara ini yang banyak membantu memberikan sokongan kepada Umno-Barisan Nasional dalam pilihanraya.


Beberapa pemimpin Umno, tambahnya juga dikenal pasti pernah atau masih mempunyai kepentingan dalam syarikat-syarikat judi berkenaan.

“Maka jelaslah bahawa kenyataan Muhyiddin itu sengaja dilontarkan bagi membela periuk nasi kroni mereka yang telah lama bergelumang dalam industri judi,” katanya hari ini.

Sebaliknya, PAS menyeru Muhyiddin serta pemimpin Umno lainnya bertaubat kepada Allah kerana berjuang dan menghalalkan judi di negara ini dan meminta maaf kepada penganut bukan Islam yang difitnahkannya sebagai kaki judi.

PAS, tegas Idris juga mengingatkan Muhyiddin dan kerajaan Persekutuan supaya menghormati hak perundangan Kerajaan Kelantan dalam menguatkuasakan undang-undang dibawah bidang kuasa mereka.

“Jika tidak ada modal untuk bercakap, baik diam diri sahaja. Baru sahaja menang di Merlimau dan Kerdau, Umno terus kembali menegakkan kemungkaran sebagai tanda kesyukuran.

“Sebagai seorang pemimpin Islam dan Timbalan Perdana Menteri beliau sewajarnya menyokong tindakan itu kerana jelas ianya diterima oleh semua agama di negara ini yang mengharamkan judi,”tambahnya.

Semalam Muhyiddin berkata, tindakan kerajaan Kelantan mengharamkan judi mendedahkan sikap sebenar mereka melayan orang bukan Islam.
PAS juga kesal kerana Umno terlalu suka mengaitkan aktiviti perjudian sebagai aktiviti kesukaan mereka yang bukan Islam.

“Mereka yang mempunyai moral yang tinggi memandang judi dalam perspektif yang amat buruk, hanya mereka yang bermoral rendah sahaja menjadikan judi sebagai hiburan mereka yang akhirnya menghabiskan duit poket mereka,” katanya.

Idris berkata, jelaslah bahawa kenyataan Muhyiddin itu sengaja dilontarkan bagi membela periuk nasi kroni mereka yang telah lama bergelumang dalam industri judi.

PAS menyokong penuh hasrat kerajaan Kelantan dan akan terus berkempen memerangi judi dinegara ini.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails