Tuesday, March 15, 2011

Pemimpin PR Penang! Siapa berjanji dengan mereka ini sila tunaikan!

TASEK GELUGOR - Penantian lebih 550 penduduk Kampung Guar Petai di sini untuk mendapatkan sebuah surau sepertimana yang dijanjikan oleh seorang pemimpin tempatan nampaknya belum diketahui kesudahannya.

Biarpun tapak yang bakal dibina surau ditumbuhi lalang, namun penduduk tetap mengharapkan janji pemimpin terbabit untuk membantu mereka membina surau idaman untuk keselesaan masyarakat kampung berkenaan.

Ketiadaan kemudahan surau menyebabkan penduduk di kampung terbabit terpaksa berulang-alik menggunakan surau di Kampung Baru atau lebih dikenali ‘Surau Mat Sabu’ yang terletak lebih satu kilometer untuk solat berjemaah atau menghadiri aktiviti keagamaan.


Wakil penduduk, Muhiddin Ayub, 57, berkata, sebagai orang harapan kampung itu, dia berasa kesal dan malu dengan kegagalan pembinaan surau itu.

“Empat tahun menunggu pembinaan surau itu bukannya masa yang singkat tambahan lagi wang hasil derma penduduk sebanyak RM4,000 sudah diberikan kepada pemilik tanah terbabit sebagai cagaran menyewa tanahnya.

“Kami hairan di mana silapnya projek ini tidak dimulakan sedangkan surat permohonan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Ketua Bahagian Wakaf telah dikemukakan selain janji lisan pemimpin itu untuk turut sama membantu membina surau di sini,” katanya.

Menurut Muhiddin, pemimpin tempatan itu bersetuju dengan cadangan penduduk untuk membina surau atas tanah lot bernombor 2982 hingga 2985 di Jalan Bakar Bata, kampung itu empat tahun lalu melalui janji lisan selepas permohonan bersurat diajukan mereka.

“Menghairankan biarpun berbagai tindakan susulan dilakukan termasuk berurusan di pejabatnya untuk menyuarakan permintaan surau yang masih gagal dibina sampai sekarang,” katanya.

Menurutnya, biarpun penduduk kampung itu berbeza fahaman politik, tetapi dalam soal agama mereka bersatu hati tambahan lagi jika untuk kebajikan sesama masyarakat.

Sehubungan itu beliau mewakili penduduk merayu supaya pemimpin terbabit menunaikan janjinya untuk membantu mereka membina surau untuk kemudahan penduduk.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails