Tuesday, March 1, 2011

PAS janji hapus saman ekor jika memerintah

PETALING JAYA: Parti Islam Semalaysia (PAS) berjanji akan menghapuskan saman ekor sekiranya diberi peluang memerintah negara dalam pilihan raya akan datang bersama Pakatan Rakyat.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang percaya rakannya dalam Pakatan (PKR-DAP) akan bersetuju dengan tawaran untuk menyelesaikan masalah saman ekor tersebut.

Menurut Abdul Hadi, PAS berpendirian tegas bahawa pelaksanaan saman ekor bukan kaedah terbaik untuk mendidik rakyat agar memandu secara berhemah.


“Kita memahami keperitan rakyat berhadapan dengan saman ekor yang tidak memberi peluang kepada rakyat untuk dibicarakan, membela diri dan dibuktikan bersalah, sebaliknya rakyat terus dihukum dengan nama mereka disenarai hitamkan dan pelbagai tindakan tidak berperi kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada FMT hari ini.

Katanya melalui Kempen Penerangan Bantah Saman Ekor (KASE) dijalankan sejak beberapa bulan lalu, PAS terus mendesak agar dihapuskan saman ekor itu.

Namun kerajaan seolah-olah tidak memandang berat perkara itu, sebaliknya pula mengetatkan akta berkaitan JPJ dan menswastakan beberapa aspek saman.

“Tindakan ini akan lebih menyusahkan rakyat khususnya masyarakat luar bandar dan kurang berkemampuan.

“Sebab itulah, kita melihat bahawa rakyat tidak ada pilihan melainkan menukar pemerintahan BN kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya yang akan datang bagi melihat usaha murni kami ini dapat direalisasikan,” katanya.

KASE telah dilancarkan pada 17 Februari lalu dan kempen itu telah giat dijalankan sejak Ogos tahun lalu dengan pengedaran risalah dan siri jelajah penerangan kepada orang ramai.

KASE ditubuhkan oleh Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS turut membuat kutipan 1 juta tandatangan dan penyerahan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi membantah saman ekor tersebut.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails