Monday, March 7, 2011

Pakatan Rakyat belum tewas teruk

Menurut Profesor Madya Mohammad Agus Yussoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, kemenangan BN di Merlimau dan Kerdau tidak menunjukkan pengundi-pengundi sudah kembali kepada BN.Sebaliknya Agus berkata, faktor kemenangan BN di kedua-dua kawasan pilihan raya kecil itu adalah disebabkan jentera BN yang luar biasa.

Pakatan belum tewas teruk
Oleh Syed Mu’az Syed Putra

ANALISIS, 7 Mac — Seperti yang dijangka Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang dengan majoriti yang lebih besar berbanding 2008.

Kemenangan mengekalkan status quo ini sudah pasti akan memberangsangkan dan memberi keyakinan kepada pemimpin dan penyokong BN setelah sekiran lama diselubungi kesuraman sokongan rakyat Malaysia terhadap parti perikatan itu sejak dilanda “tsunami politik” pada 8 Mac 2008.

Malah, kemenangan BN ini berjaya memperbaharui rekod pertarungan antara BN dengan Pakatan Rakyat kepada 8-8, dalam 16 pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum ke-12.


Dengan kekalahan PAS di dua kawasan sebelum ini iaitu di Galas, Kelantan dan Tenang, Johor memberikan lebih keyakinan kepada BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang mana sokongan pengundi Melayu dilihat sudah kembali kepada BN.

Di Merlimau, calon BN Roslan Ahmad meraih 5,962 undi manakala calon PAS Yuhaizat Abdullah pula memperoleh 2,319 undi.

Dalam pada itu, di Kerdau calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad memperoleh 5,060 undi manakala calon PAS Hassanuddin Salim mendapat 2,336 undi.

Majoriti kedua-dua kawasan ini meningkat lebih satu kali ganda berbanding pilihan raya umum 2008.

Seandainya diimbas kembali, sentimen rakyat jelas menyebelahi Pakatan Rakyat untuk satu jangka yang agak panjang selepas pilihan raya umum ke-12. Situasi ini dapat diperlihatkan apabila Pakatan Rakyat memenangi dua pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke-12 iaitu Permatang Pauh dengan majoriti yang lebih besar, dan Kuala Terengganu dengan rampasan kerusi dari BN.

BN hanya berjaya mempertahankan satu kerusi di DUN Batang Ai, Sarawak pada April 2009.

Namun, kemenangan ini sedikitpun tidak menceriakan BN, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memandangkan ia berlangsung bersama pilihan raya kecil Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah dan kawasan-kawasan itu kekal dalam genggaman Pakatan Rakyat.

Kekalahan demi kekalahan ini mungkin antara faktor yang membelenggu BN, sehingga tidak menurunkan calon dalam pilihan raya kecil Penanti, yang berlangsung pada 31 Mei 2009.

Bagaimanapun, kekalahan tetap menghantui BN apabila tewas sekali lagi di pilihan raya kecil Permatang Pasir, kira-kira tiga bulan selepas itu.

Bagaimanapun pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai BN hampir mengecapi kemenangan apabila berjaya menghakis undi PAS dari 1,352 hingga 65 undi tetapi masih gagal untuk menembusi kubu kuat PAS itu.

BN hanya berjaya mencapai kemenangan pertama melalui Tan Sri Mohd Isa Samad apabila berjaya mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang dengan majoriti lebih besar.

Sejak itu, BN dilihat kembali dengan keyakinan bahawa undi Melayu telah kembali ke pangkuan Umno.

Dakwaan itu diperkukuhkan lagi apabila BN berjaya merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun kegembiraan itu tidak panjang apabila DAP mencipta kejutan dengan merobohkan kubu kuat BN di Sibu, Sarawak.

Bagaimanapun kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi, Sabah memberikan satu lagi keyakinan kepada kepimpinan BN, malah kemenangan di Tenang juga menjadi pemangkin yang menyaksikan BN menang dengan majoriti besar.

Melihat kepada siri pilihan raya kecil dan ditambah pula dengan kemenangan BN di Merlimau dan Kerdau mungkin memberikan satu isyarat kepada Pakatan Rakyat bahawa pengundi khususnya pengundi Melayu sudah kembali kepada pangkuan BN.

Walaupun ramai yang menjangkakan BN akan menang namun agak mengejutkan apabila BN menang dengan majoriti lebih besar di kawasan yang majoritinya adalah orang Melayu.


Seorang perayu undi PAS menggantung gambar calon Yuhaizat Abdullah bagi menarik perhatian pengundi di pekarangan pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Jasin, semalam. — Foto Bernama Menurut penganalisis politik Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian, kemenangan BN di dua kawasan pilihan raya kecil ini menunjukkan pengundi sudah kembali ke pangkuan BN.

“Keputusan ini memang sudah dijangka, persoalannya hanya berapa banyak majoriti tapi kalau kita lihat BN berjaya meningkatkan majoriti yang besar di Merlimau dan Kerdau.

“Keputusan ini menunjukkan apa yang dilakukan BN masih diterima dengan baik oleh penyokong parti dan pengundi juga sudah kembali kepada BN,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata mungkin kemenangan BN di Merlimau dan Kerdau disebabkan ketiadaan isu tempatan yang boleh mempengaruhi minda pengundi supaya tidak mengundi parti perikatan itu.

“Mungkin boleh dikatakan dengan ketiadaan isu tempatan yang besar di kedua-dua kawasan ini menjadi faktor kemenangan BN.

“Malah kegagalan PAS sejak di Bagan Pinang, Galas dan Tenang memberi kesan terhadap sokongan pengundi terhadap PAS dan kalau kita lihat PAS mula menghadapi kemerosotan sokongan undi Melayu.

Justeru kata pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia itu, PAS perlu mengkaji semula strategi dan pendekatan yang digunakan terutamanya dalam menghadapi kehakisan sokongan pengundi Melayu terhadap parti Islam itu.

“PAS harus kaji semula strategi yang digunakan, mungkin mereka (PAS) anggap kekalahan ini sudah dijangka tapi kalau kita lihat DAP lebih memainkan peranan daripada PAS dan ia memberi kesan apabila PAS tidak mendapat sokongan pengundi Melayu.

“Bagi saya ini merupakan salah satu sebab kerana kalau kita lihat DAP yang gerakkan PAS untuk pastikan PAS mendapat sokongan pengundi bukan Melayu tapi PAS gagal untuk dapatkan sokongan pengundi Melayu.

“Kekalahan ini boleh menyebabkan sokongan orang Melayu terhadap PAS terhakis dan jika ia dibawa ke peringkat nasional kita akan dapat tahu nilai sokongan Melayu kepada PAS,” katanya.

Sivamurugan berkata perubahan yang ingin dibawa PAS dilihat gagal mendapat keyakinan daripada pengundi yang dilihat selesa dengan apa yang diberikan BN.

Tiada isu yang boleh sebabkan pengundi tidak undi BN, perubahan yang dibawa PAS ini tidak kena dengan selesa pengundi di kedua-dua kawasan ini.

“Kalau PAS tidak lihat kehakisan sokongan Melayu ini ia akan memberi kesan dalam pilihan raya umum ke-13. Jadi PAS perlu kembali dan lihat kepada matlamat asal parti,” katanya.

Bagaimanapun Profesor Madya Mohammad Agus Yussoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, kemenangan BN di Merlimau dan Kerdau tidak menunjukkan pengundi-pengundi sudah kembali kepada BN.

Sebaliknya Agus berkata, faktor kemenangan BN di kedua-dua kawasan pilihan raya kecil itu adalah disebabkan jentera BN yang luar biasa.

“Saya lihat tidak banyak yang berubah walaupun BN menang dengan majoriti yang agar besar tapi kemenangan itu tidak membolehkan kita untuk membaca sikap pengundi.

“Kemenangan BN disebabkan jentera BN yang luar biasa, ia merupakan satu kejayaan dan kerja kuat BN tapi dari segi bacaan sikap pengundi untuk gambarkan pilihan raya umum masih belum boleh... tapi kemenangan ini menunjukkan rakyat sudah selesa dengan politik BN,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya BN memberikan tumpuan kepada rakyat selain melaksanakan janji-janji ia boleh membawa perubahan terutamanya dari aspek pola pengundian dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Kalau BN fokus kepada rakyat, maka akan berlaku perubahan dalam konteks nasional.

“PAS tidak gagal tapi jentera PAS yang gagal berfungsi seperti mana jentera BN, strategi jentera BN memberi kelebihan kepada BN dan faktor ini yang memenangkan BN,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata kemenangan BN menunjukkan peningkatan kepercayaan pengundi terhadap BN.

“Kemenangan BN di kedua-dua pilihan raya kecil ini mencatatkan majoriti yang berganda dan peningkatan majoriti ini menunjukkan pemulihan kepercayaan rakyat kepada BN.

“Ini adalah satu yang nyata dan jelas kesinambungan kemenangan BN dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, kalau kita lihat BN berjaya pulihkan kepercayaan rakyat,” katanya.

Jelas beliau, pengundi sudah kembali kepada BN kerana percaya hanya parti perikatan itu yang boleh menjamin masa depan mereka.

“Pengundi memilih BN sebagai parti yang boleh memberi keyakinan kepada rakyat dan peningkatan itu menunjukkan bahawa di samping BN mengekalkan kemenangan BN juga berjaya mempertahankan kubu kuat mereka.

“Kalau kita lihat di kedua-dua kawasan ini, PAS memperlihatkan kempen yang luar biasa . . . kempen yang kuat tapi mereka tetap gagal, ini adalah satu bukti kekuatan yang ada pada BN,” katanya.

Melihat kepada perubahan yang berlaku ini, adakah PAS masih mampu untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan orang Melayu menjelang pilihan raya umum ke-13.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails