Sunday, March 13, 2011

Jepun sah letupan loji tenaga nuklear Fukushima (Video Inside)

TOKYO, 12 Mac – Kerajaan Jepun mengesahkan letupan di loji tenaga nuklear Fukushima Daini hari ini ekoran gempa bumi dan tsunami semalam. Terdahulu agensi berita Jiji memetik polis tempatan berkata letupan dan asap kelihatan di loji tersebut – sehari selepas timur laut Jepun digegarkan dengan gempa bumi paling buruk dalam 140 tahun.

Awal hari ini, kerajaan Jepun memberi amaran wujudnya cairan di reaktor nuklear yang rosak ekoran gempa bumi dan tsunami semalam, tetapi berkata, risikonya kecil.

Bagaimanapun Ketua Setiausaha Kabinet Jeoun Yukio Edano kemudian mengesahkan satu letupan dan kebocoran radiasi di loji tersebut.


“Kami sedang melihat punca dan situasi dan kami akan memaklumkan publik apabila kami ada maklumat lanjut,” kata beliau.

“Buat masa ini kami merasakan pengosongan kawasan dalam lingkungan 10 kilometer adalah wajar,” katanya.

Malah beliau juga berkata Jepun telah memperluaskan kawasan yang dikosongkan sekitar loji Fukushima Daini.

Beberapa jam kemudian kerajaan mengumumkan bahawa ia memutuskan untuk memperluaskan kawasan yang perlu dikosongkan sekali ganda kepada 20 kilometer.

Edwin Lyman dari Union of Concerned Scientists berkongsi keseriusan keadaan di pusat-pusat kemudahan nuklear yang dilanda gempa bumi dan tsunami, dan pilihan-pilihan yang ada bagi mengelakkan bencana nuklear.

Stesen TV NHK melaporkan bahawa beberapa pekerja cedera dalam letupan di Unit 1 loji tersebut.

Agensi berita Kyodo pula berkata, radiasi dikeluarkan setiap jam bersamaan dengan kadar yang dibenarkan bagi tempoh satu tahun.

Laporan msnbc memetik stesen Sky News dari Britain berkata, penduduk di kawasan sekitar diminta tidak keluar rumah, tidak minum air paip dan perlu menutup muka mereka dengan topeng pernafasan ataupun tuala basah.

Operator-operator di Unit 1 loji Fukushima Daiichi telah mengesan kadar radiasi lapan kali ganda di luar dan 1,000 kali ganda di dalam bilik kawalan.

Dua reaktor telah hilang keupayaan mengawal tahap kedinginan dan cairan kemungkinan berlaku di salah satu reaktor disebabkan suhu terlalu tinggi, kata Ryohei Shiomi, seorang pegawai di suruhanjaya keselamatan nuklear Jepun.

Ketika bercakap kepada pemberita sebelum letupan, beliau berkata, jikapun ada cairan ia tidak akan memberi kesan ke atas mereka di luar kawasan 10 kilometer.

Kebanyakan daripada 51,000 orang yang tinggal dalam lingkungan kawasan bahaya sudah dipindahkan, kata Ryohei. – Reuters


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails