Wednesday, March 2, 2011

Dokumen Bukti Hubungan Apco-Israel didedah Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau apabila mendedahkan salinan dokumen perjanjian antara Apco Worldwide dan kerajaan Israel yang ditandatangani pada 1991 – bukti pertalian erat kedua-dua pihak.

Ketua Umum KEADILAN itu turut membaca satu perenggan sebelum menyerahkan kepada jurugambar media tempatan yang berebut-rebut mahu merakam dokumen berkenaan.

“Tarikh dokumen ini bila? Tahun 1991. Apa berlaku pada 1999? Ehud Barrack (Perdana Menteri Israel) anjur kempen One Israel. Pada 2009 pula, (Datuk Seri) Najib (Razak) memperkenal Satu Malaysia.


“Pada 1999 juga, Ehud kemuka slogan ‘People First’, Najib pula ‘Rakyat Didahulukan’. Kemudian, Ehud buat klinik untuk rakyat Israel. Najib buat apa? Klinik Satu Malaysia.

“Ke-be-tu-lan,” sindir Anwar dengan disambut sorakan kira-kira 3,000 hadiri yang memenuhi lokasi ceramah di Merlimau Pasir di sini, malam tadi.

Anwar pada Disember tahun lalu digantung dari menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan selepas mendedahkan persamaan slogan One Israel dan Satu Malaysia dengan mengaitkan peranan Apco, tanpa diberi peluang membela diri.

Turut digantung ialah Mohamed Azmin Ali (KEADILAN-Gombak), R Sivarasa (KEADILAN- Subang), dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Kerajaan Malaysia sebelum ini, walaupun menafikan slogan Satu Malaysia hasil ilham Apco, mengaku membayar RM70 juta kepada firma perunding antarabangsa yang didalangi pemimpin Israel-Zionis itu.

Antara pegawai kanan Apco ialah bekas Duta Israel ke Jerman, Shimon Stein yang berkhidmat dalam kerajaan Israel dan berperanan penting dalam pentadbiran dua bekas Presiden Amerika, Bill Clinton dan Jimmy Carter, selain menjadi bekas ahli lembaga pengarah Yayasan Jerusalem.

Pegawai kanan lain ialah Itamar Rabinovich, bekas duta Israel ke AS dan Ketua Perunding Israel dengan kerajaan Syria ketika Yitzak Rabin masih menguasai kerajaan Israel.

Selain bukti itu, Anwar pada ceramah berkenaan turut membawa salinan dokumen laporan Global Financial Integrity (GFI) yang menunjukkan aliran keluar wang haram dari Malaysia sebanyak RM888 bilion (AS$291 bilion) dalam tempoh sembilan tahun sejak 2000.

Beliau berkata, jumlah itu menyamai wang yang dilarikan dua diktator iaitu bekas Presiden Tunisa, Zainal Abidien Ben Ali mahupun bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak selepas diguling rakyat negara masing-masing.

Anwar juga kesal kerana kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) sehingga kini berdiam diri tanpa membuat sebarang siasatan, jauh sekali mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

“Jika Pakatan Rakyat memerintah negara, kita akan menjalankan siasatan terperinci. Ini memalukan negara di mata dunia,” katanya.

Laporan itu menunjukkan Malaysia berada di tangga kelima dari senarai panjang negara yang terlibat dalam pengaliran keluar wang secara salah seperti wang rasuah mahupun wang lari cukai.

Pada ceramah itu, Anwar turut mengulangi janji Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga petrol sehari selepas menawan Putrajaya.

Malah, gaya beliau membuat pengumuman penurunan harga petrol mencuit hati hadirin yang menggamatkan suasana dengan bersorak, dikuti laungan takbir.

Selain Anwar, beberapa pimpinan Pakatan Rakyat termasuk calon PAS bagi DUN Merlimau, Yuhaizad Abdullah; Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani; Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud turut menyampaikan ceramah.


Keadilan Daily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails