Friday, March 11, 2011

Bukan RM200 Billion Dato Seri tapi RM135.3 Billion saja yang depa bawa lari..

Anwar kata laporan Integriti Kewangan Global (GFI) pada 2009 yang menyatakan kira-kira RM200 bilion wang haram dibawa keluar dari negara ini

Dan laporan itu bukan diada-adakan oleh Pakatan Rakyat (PR) sebaliknya dikeluarkan oleh GFI untuk menunjukkan jumlah wang haram yang berkemungkinan daripada hasil rasuah, pelaburan haram atau mengelak dikenakan cukai yang dikeluarkan badan itu setiap tahun. Sepenuhnya sila baca di SINI

Najib pula kata bukan RM200 Billion tapi Malaysia mencatatkan kesalahan dan ketinggalan (E&O) aliran keluar kewangan RM135.3 bilion bagi tempoh 2000 hingga 2009.

RM135.3Billion sajeee…. Tak banyak tu… tak apa pasal yang songlap tu pemimpin UMNO/BN jadi SPRM atau Bank Negara buat tak nampak saja la…


Aliran keluar RM135.3 bilion
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

KUALA LUMPUR 10 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mencatatkan kesalahan dan ketinggalan (E&O) aliran keluar kewangan RM135.3 bilion bagi tempoh 2000 hingga 2009.

Perdana Menteri berkata, E&O akan ada di dalam imbangan pembayaran memandangkan jumlah urus niaga negara yang amat besar dengan dunia luar di samping ketiadaan data untuk barangan tertentu disebabkan oleh kesalahan perangkaan atau pindahan dana yang tidak direkodkan.

“Jumlah E&O ini mencakupi kurang dua peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia dan dalam lingkungan lima peratus daripada jumlah perdagangan mengikut standard yang diterima.

“Selain percanggahan perangkaan yang benar-benar berlaku, E&O juga mungkin mencerminkan aliran kewangan tidak direkodkan yang dijalankan melalui saluran tidak formal, yang mungkin termasuk dana berpunca daripada aktiviti haram,” katanya melalui jawapan bertulis kepada Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bagaimanapun, data urus niaga ekonomi dan kewangan Malaysia dengan dunia luar dirangkum dalam perangkaan imbangan pembayaran yang disusun mengikut metodologi seperti disarankan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kit Siang dalam soalannya meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah yang diambil mengenai laporan Integriti Kewangan Sedunia (GFI) bahawa Malaysia mengalami aliran keluar kewangan haram dalam lingkungan RM888 bilion yang disebabkan oleh rasuah dan salah urus di antara tahun 2000 dan 2008.

Perdana Menteri menambah, menyedari jumlah aliran keluar dana tidak direkodkan semakin meningkat, Bank Negara Malaysia telah menjalankan siasatan mengenai pindahan dana secara haram oleh pengurup wang.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 50 lesen pengurup wang dibatalkan dengan lapan pengurup wang serta pengarahnya didakwa di mahkamah dan didapati bersalah.

“Kerjasama antarabangsa dan perkongsian maklumat dengan agensi penguatkuasaan undang-undang asing bagi tujuan perkongsian hasil risikan dan bukti bagi transaksi merentas sempadan juga dipertingkatkan.

“Beberapa rakan sejawat asing telah bekerjasama dalam pengawasan dan tindakan bersama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan bagi menjejaki destinasi terakhir dana haram berkenaan.

“Pada masa sama, kerajaan juga telah menubuhkan pasukan petugas peringkat tertinggi untuk terus menyiasat perkara itu,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, rangka tindakan dan kerja undang-undang baru untuk industri pengurupan serta pengiriman wang akan dilaksanakan tahun ini untuk memupuk pembangunan industri yang kukuh, menggalakkan standard tadbir urus dan amalan profesional baik demi melindungi integriti industri.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia ialah sebuah negara yang mempunyai ekonomi terbuka serta sistem kewangan liberal dengan sektor perniagaan dan isi rumahnya dapat menjalankan pelbagai urus niaga merentas sempadan.

“Jumlah perdagangan Malaysia pada 2010 adalah sebanyak RM1.17 trilion iaitu bersamaan 153 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sistem ini didukung oleh undang-undang, peraturan dan kawal selia yang komprehensif sekali gus memberi keyakinan bagi menjalankan perniagaan di Malaysia,” katanya.


Lidah Rasmi UMNO

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails