Friday, March 4, 2011

Anwar - Ummi satu pertembungan... (Video Inside)



Ceramah sulung melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ummi Hafilda Ali - saksi penting kes liwat 1998 - di Kerdau pada Khamis malam dicemari ejek-mengejek, sindir-menyindir dan jerit-menjerit antara penceramah dan penonton yang hadir.

Sejak awal lagi, perkara itu dijangka berlaku apabila Ummi Hafilda yang juga adik kepada Azmin - timbalan presiden PKR - mengadakan ceramah di Felcra Rumpun Makmur, di tempat yang sama dengan Anwar bagi "merungkai segala rahsia" ketua pembangkang itu.




Suasana panas seawal jam 9 malam lagi apabila pengerusi majlis juga saling cabar-mencabar antara satu sama lain, lebih-lebih lagi apabila tempat ceramah cuma dipisahkan sebatang jalan raya.




Ketika ceramah bermula, daripada 1,000 penonton - 700 di pihak Pakatan Rakyat dan 300 di pihak BN - ratusan orang masih berdiri di bahu jalan untuk menjerit, menyorak, mengejek dan mengebu lawan mereka.

Bagaimanapun, suara penyokong Pakatan Rakyat nyata menenggelamkan sorakan lawan mereka yang rata-rata terdiri daripada golongan tua.

Ummi Hafilda mula berucap kira-kira jam 10 malam diikuti Anwar sepuluh minit kemudiannya yang disambut suara takbir dan pelbagai laungan seperti "hidup rakyat", "reformasi", "hidup Anwar" dan "sokong Anwar".

'Peliwat, penipu, perogol bersiri'

Memulakan ceramahnya dengan menegaskan soal akhlak Islam, Anwar nampaknya tidak berminat menjawab segala dakwaan dan pelbagai label yang dilontarkan padanya seperti "peliwat", "penipu", "agen Yahudi" dan "perogol bersiri" oleh Ummi Hafilda.

Bagaimanapun sesekali beliau mencelah dan meminta hadirin ceramah tidak melayan wanita tersebut.

"Jangan layan dia. Lagi dilayan harganya makin naik, daripada upah RM500 jadi RM600," sindir Anwar sesekali.

Ummi Hafilda bagaimanapun dilihat terus mengasak Anwar dan mengulang-ulang hujah dan melontarkan label terhadap ketua umum PKR itu sambil meminta jawapan diberikan.

Dalam ucapannya, beliau juga memuji pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan bekas perdana Tun Dr Mahathir - tindakan yang menyebabkan Anwar secara berjenaka menyindir sekali lagi.

"Ada lagi ke Mahathir (dalam kerajaan)?" tanyanya sambil disambut gelak ketawa.

Sukar beri tumpuan

Suasana begitu bingit apabila pembesar suara daripada kedua-dua pihak boleh didengar daripada tempat masing-masing sehingga hadirin sukar memberikan tumpuan kepada butiran ceramah.

Anwar menamatkan ceramahnya dan diikuti Ummi Hafilda kira-kira 10 minit selepas itu.

Sepanjang ceramah, kira-kira 200 penyokong kedua-dua belah pihak terus berdiri di sepanjang jalan raya seakan-akan menanti sebarang kemungkinan berlakunya insiden atau pergaduhan.

Bagaimanapun, kawalan jalan raya oleh Unit Amal PAS, termasuk pihak polis di hujung ceramah berjaya melancarkan keadaan sekitar kawasan itu.

Tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

Malam Rabu lalu, Ummi Hafilda turut berkongsi pentas dengan penceramah BN di Merlimau, tetapi dengan penampilan berbeza dengan suara yang menggeletar dan menangis ketika menceritakan apa yang berlaku pada tahun 1997 dan 1998.

Dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau pada 6 Mac ini, calon PAS Hassanuddin Salim akan menentang calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad.





Gambar dari WRLR
Berita dari Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails