Thursday, March 3, 2011

Anwar diaib, dilayan umpama pengganas


Di sekitar IPK Kuala Lumpur selepas Dato' Seri Anwar ditahan pada 16 julai 2008

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan penahanan beliau yang dilakukan polis pada 16 Julai 2008 seolah-oleh beliau seorang pengganas antarabangsa, selain diaibkan ketika dalam tahanan.


Memberi keterangan sebagai saksi pertama peguam bela di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Anwar berkata, kereta yang dinaikinya pada hari berkenaan, dihentikan empat kereta peronda polis sewaktu dalam perjalanan ke rumahnya di Segambut untuk solat Zuhur.

Beliau berkata, kira-kira 10 ke 15 anggota Unit Tindakan Khas (UTK) lengkap bersenjatakan sub mesingan mengacukan senjata mereka ke arahnya.

“Kami terpaksa berhenti serta-merta,” katanya sambil menjelaskan, beliau berada di bahagian belakang kereta manakala peguam belanya, Sankara Nair di bahagian depan.

“Sankara keluar (kereta) dan seorang anggota menghampiri. Saya diminta terus berada dalam kereta. Seorang anggota kedengaran berkata: Arahan untuk menangkap Datuk Seri Anwar.”

“Saya diperlakukan seperti saya ini Botak Chin. Saya ditahan secara paksa seolah-olah saya ini anggota pengganas Al-Qaeda,” kata Anwar.

Menjawab soalan DPP Yusoff sama ada beliau dimaklumkan kesalahan yang didakwa dilakukannya hingga membawa penahanan itu. Anwar berkata, beliau tidak pernah dimaklumkan secara spesifik.

Katanya, beliau juga sukar meneka atas kesalahan apa kerana terlalu banyak ‘tuduhan’ dilempar terhadapnya dalam akhbar tempatan, daripada agen Yahudi sehinggalah kepada pengkhianat negara hanya kerana tidak memakai ‘baju batik’.

Zabidin mahupun hadirin di galeri awam tidak dapat menahan ketawa mereka mendengar jawapan Anwar.

Anwar berkata, sewaktu ditahan beliau hanya diberitahu keperluan memberi keterangan berdasarkan Seksyen 112 Kanun Keseksaan Jenayah.

Anwar diaib

Ini pertama kali Anwar memberi keterangan dalam kes Fitnah II bagi perbicaraan dalam bicara untuk menolak bukti yang diperolehi secara tidak sah dan melalui paksaan.

Bukti itu ialah botol mineral ‘Cactus’, tuala muka ‘Good Morning’, serta berus gigi yang semuanya digunakan Anwar sewaktu ditahan secara tidak sah pada hari berkenaan.

Meneruskan keterangannya, Anwar berkata, polis kemudian membawanya ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira jam 8 malam dan beliau diminta menanggalkan pakaiannya sehingga memakai cuma singlet dan seluar dalam, sebelum z***r dan d***r beliau diperiksa dua doktor.

Menceritakan keadaan lokap pula, Anwar berkata, tandas tempat beliau ditahan terlalu kotor dan lantai simen lokap juga terlalu sejuk untuk seseorang yang sakit belakang seperti beliau.

Polis macam robot

Saksi kedua, Sankara Nair dalam keterangannya pula menyifatkan polis yang menahan Anwar, bertindak tidak ubah seperti robot.

Beliau berkata demikian ketika ditanya DPP, Yusoff Zainal Abiden yang mencadangkan bahawa pegawai polis yang mengetuai penahanan Anwar pada hari berkenaan, tidak banyak bercakap dan menjalankan tugasnya sahaja.

Sankara berkata beliau tidak banyak bercakap tetapi menganggap polis bercakap seperti robot kerana mereka mengulangi jawapan sama apabila ditanya alasan penahanan Anwar.

“Dia robotik,” kata Sankara.

“Beliau hanya menjawab ‘arahan’, dan saya mesti bawa Datuk Seri Anwar ke IPKKL dengan kenderaan saya’ berulang kali,” kata Sankara.

Sankara yang juga peguam Anwar, hari ini bertindak sebagai saksi kedua peguambela dalam bicara mini untuk menolak bukti yang diambil secara tidak sah dari Anwar sewaktu beliau ditahan secara haram pada 16 Julai 2008.

Esok, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah akan dipanggil sebagai saksi ketiga peguam bela.

Pendakwa raya pula dijangka memanggil dua saksi di pihak mereka esok termasuk pegawai penyiasat DSP Jude Pereira akan memberi keterangan bagi pihak pendakwa esok.


Keadilandaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails