Tuesday, March 1, 2011

Alahai.. Dah enam kali kena tipu, nak percaya lagi ke?

TEMERLOH: Penduduk Kerdau mendengar sekali lagi janji kerajaan untuk menyiapkan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Paya Taram yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu.

Adakah pilihan raya kecil (PRK) DUN Kerdau yang sedang berlangsung ketika ini akan menjadi penamat kepada permasalahan yang dideritai penduduk selama puluhan tahun itu.

Bagi penduduk, mereka sudah mendengar janji kerajaan mahu menyiapkan rumah tersebut sejak pilihan raya umum (PRU) 1990, 1995, 1999, PRK Sanggang tahun 2000, PRU 2004 dan yang terakhir pada PRU 2008 yang lalu.

Kelmarin, sekali lagi Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Said mengumumkan kepada media, kerajaan telah meluluskan RM2.2 juta bagi membaiki semula perumahan perumahan milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang itu.


Menurut Ismail, pembaikpulihan itu akan ditanggung kos oleh Syarikat Perumahan Negara (SPN).

PAKR Paya Taram mengandungi 198 unit rumah teres setingkat dengan ukuran 6 meter x 9.3 meter dan mula dibina pada 1988 tetapi projek berkenaan terbengkalai beberapa tahun kemudian sebelum sempat siap.

Lebih mengecewakan lagi, projek kerajaan negeri itu telah diserahkan kepada bank dan pembeli terpaksa memohon pinjaman sehinggalah harga tawaran asal RM25,000 sebuah rumah telah meningkat kepada RM35,000 bagi lot biasa manakala harga bagi lebihan lot dikira sebanyak RM2.50 bagi setiap sekaki persegi.

Seorang penduduk, Sharuddin Mohd Salleh, 50, mengalu-alukan janji Ahli Parlimen tersebut dan berharap masalah tersebut tidak berlarutan lebih lama lagi kerana kebanyakan pembeli rumah itu merupakan penduduk kampung sekitar yang masih belum memiliki rumah.

''Sesetengah daripada kami sanggup menjual lembu dan tanah untuk membeli rumah ini kerana belum memiliki rumah sendiri. Ada pula yang sudah dipotong gaji untuk bayar pinjaman rumah.

“Apabila terbengkalai dan belum diketahui entah bila siapnya, tentulah membuatkan kami tak senang duduk,” katanya.

Tambah Sharuddin, kediaman yang selesa adalah salah satu kewajipan asas bagi sesebuah keluarga yang sempurna kerana dari situ akan lahirlah sebuah masyarakat yang teratur seterusnya menyumbang ke arah keharmonian negara.

Katanya lagi, sebuah kerajaan yang baik dan prihatin pula, lazimnya akan mengambil tanggungjawab memastikan rakyatnya tidak terabai dalam urusan memiliki tempat tinggal.

Seorang pembeli lagi, Siti Fatimah Abdul Rahman, 49, ketika ditemui memberitahu impiannya bagi memiliki rumah sendiri hampir ‘berkubur’ apabila projek berkenaan terus terbengkalai.

“Sejak anak saya kecil dan kini dia dah berusia 24 tahun, rumah yang kami impikan masih juga belum disiapkan”, luahnya dengan nada kecewa.

”Saya sangat kecewa dalam hal ini, sebab telah merancang bersama keluarga untuk tinggal di situ tetapi sampai sekarang rumah itu tidak siap-siap,'' .

“Ini adalah rumah pertama yang saya mohon untuk bersama keluarga dan akibat terbengkalai, saya sekeluarga masih terpaksa menumpang di rumah kakak,'' ujarnya.

Menurutnya, dia telah mengisi borang pada tahun 1989 dan hanya ditemuduga kelayakan pada tahun 2000. Setelah dua dekad menunggu, awal tahun ini pihak kerajaan telah menyuruhnya pergi ke bank untuk membuat pinjaman pembelian rumah berkenaan.

“Saya memang harap sangat rumah ini dapat siap cepat dan kerajaan tidak lepas tangan. Apatah lagi ada pihak yang menjanjikan pemilikan rumah ini tiap-tiap kali pilihan raya”, katanya lagi.


Harakahdaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails