Friday, February 25, 2011

Yuhaizad di Merlimau, Hassanuddin di Kerdau

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Feb: PAS malam ini memilih Yuhaizad Abdullah, 38, sebagai calon pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Hassanuddin Salim, 43, bagi PRK Kerdau.

Kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 6 Mac ini sementara penamaan calon pada 26 Februari.

Di JASIN, pemilihan Yuhaizad (kanan) selaku Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada jam 11.25 malam ini di hadapan lebih 6,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat di Dataran Markas PAS Dun Merlimau.


Turut hadir ialah Setiausaha Agung PAS dan PKR, Datuk Mustafa Ali dan Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh, Ketua AMK dan Dapsy Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin dan Loke Siew Fook serta Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.

Berusia 38 tahun, Yuhaizad adalah juga Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri.

Pemilihan anak jati Kampung Chinchin yang terletak di dalam Dun Merlimau yang berkelulusan Diploma Tasawur Islam itu dipercayai mampu memberikan tentangan sengit kepada BN yang sememangnya begitu yakin dapat mempertahankan kerusi Merlimau.

Kerusi Dun Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan, 58, dari BN pada awal Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Hidhir menewaskan calon PAS, Mejar (B) Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Beliau pernah bekerja sebagai juruteknik Siemens Semiconductor pada 1994 hingga 1998, Pegawai Tadbir Koperasi Hak Anak Melaka (Kohamas) pada 1998 hingga 2000, Pegawai Tadbir Borneo Security Melaka (2001-2003), Pengurus Projek Kontraktor Penyelenggaraan di MISC Menara Dayabumi (2003-2007) dan Pengurus Projek Kontraktor Penyelenggaraan di Universiti Multimedia pada tahun lepas.

Di TEMERLOH, pengumuman Hassanuddin (kiri) sebagai calon PAS telah disempurnakan oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 10.46 malam dalam majlis yang diadakan di tapak Kompleks PAS Kerdau.

Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS dan PKR, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden dan AJK PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh, Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Hassanuddin yang dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh pernah bertanding di Dun Kerdau pada pilihan raya umum lalu.

Beliau adalah Ketua Penerangan PAS Pahang yang berkelulusan Diploma Ukur dari UiTM, Shah Alam mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.

Hassanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.

Beliau yang mempunyai pengalaman dalam industri dan ukur selama 15 tahun juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails