Friday, February 11, 2011

Revolusi Mesir : Ribuan pekerja kilang turut mogok


PENUNJUK perasaan membaca akhbar berhampiran kereta perisai di Medan Tahrir, semalam.

KAHERAH: Pekerja di kilang terbesar di Mesir semalam keluar beramai-ramai untuk melancarkan mogok sebagai menyokong penunjuk perasaan antikerajaan bagi menuntut kenaikan gaji.

Pekerja di kilang tekstil Misr - yang mempunyai 24,000 pekerja di bandaraya Al-Mahalla al-Kubra di Delta Nil - mengunci bangunan kilang dan berhimpun beramai-ramai di depan bangunan pentadbiran kilang berkenaan.


“Kami melancarkan mogok terutamanya untuk menunjukkan perpaduan bersama penunjuk perasaan di Medan Tahrir, tempat tumpuan utama demonstrasi antikerajaan di Kaherah,” kata seorang penganjur mogok, Faisal Naousha kepada pihak media.

“Kami juga mahu arahan mahkamah supaya memansuhkan gaji minimum dilaksanakan,” katanya.



PENUNJUK perasaan melihat kain rentang dengan wajah Presiden Hosni Mubarak yang retak dalam demonstrasi antikerajaan di Medan Tahrir, Kaherah, semalam.

Menurutnya, beratus-ratus pekerja akan disertai ribuan lagi yang bekerja pada shif tengah hari.

Syarikat Misr adalah syarikat sektor perkhidmatan awam terbesar dan industri tekstil di Mesir mewakili 48 peratus jumlah tenaga kerja di negara itu, menurut Pusat Kesatuan Perdagangan dan Perkhidmatan Pekerja (CTUWS).

Seorang pegawai keselamatan berkata, berpuluh-puluh ribu pekerja di sektor awam melancarkan mogok di bandaraya Iskandariah, bandaraya Suez serta bandar di pantai utara dan Laut Merah.

“Sejak demonstrasi antikerajaan seluruh negara tercetus 25 Januari lalu menuntut supaya Presiden Hosni Mubarak menamatkan pemerintahan selama 30 tahun, kami mula mendengar pegawai kerajaan mempunyai berbilion dolar dalam akaun peribadi mereka.

“Ramai pekerja merasakan sudah tiba masanya untuk kami bangkit dan menuntut hak kami,” katanya lagi.

Mogok dan demonstrasi antikerajaan masih berlanjutan walaupun kerajaan baru Mesir berjanji untuk menaikkan gaji kakitangan awam dan persaraan sebanyak 15 peratus, satu daripada beberapa langkah yang diambil untuk menghentikan tunjuk perasaan yang berlangsung. - AFP

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails