Sunday, February 27, 2011

Proses undi PKR cabang sedingin salju..

PENDANG – Pengundian pemilihan Jawatankuasa PKR Cabang Pendang dilihat begitu dingin apabila tidak ramai ahli parti itu yang hadir membuat undian semalam.

Pusat pengundian yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Pendang (MDP) bermula jam 10 pagi dan berakhir kira-kira jam empat petang itu dilihat kurang mendapat sambutan memandangkan tidak mencapai sasaran kehadiran ahli membuang undi.

Ketua Penaja Pendang, Rashdan Ismail berkata, pemilihan jawatankuasa dan mesyuarat agung diadakan kali pertama setelah lulus daripada daftar pertubuhan (ROS) PKR Cabang Pendang.


Menurutnya, seramai 535 ahli PKR cabang ini layak mengundi, namun PKR cabang itu hanya menyasarkan hanya 80 peratus sahaja yang datang mengundi memandangkan banyak ahli yang bekerja dan tidak dapat bercuti.

“Majoriti yang keluar mengundi pada hari ini (semalam) adalah ahli lingkungan umur 30 ke atas sahaja memandangkan banyak ahli yang tidak dapat keluar mengundi apabila ada segelintir yang tidak dapat meninggalkan sementara pekerjaan yang dilakukan mereka.

“Memandangkan harga getah semakin tinggi pada masa kini menyebabkan ahli tidak mahu meninggalkan pekerjaan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, calon Timbalan Ketua PKR cabang itu, Jaafar Shaari berkata, undian untuk pemilihan cabang berkenaan dingin berikutan kemungkinan ahli tidak mengetahui tarikh pengundian memandangkan pemilihan pencalonan ini pada mulanya ditetapkan pada 12 Februari 2011 namun atas sebab-sebab tertentu pemilihan ini ditunda semalam.

“Tarikh itu ditentukan oleh jawatankuasa pemilihan pusat dan banyak ahli yang mengetahui pemilihan pada tarikh itu memandangkan banyak kain rentang telah dipasang dan ahli telah banyak memohon cuti namun pada saat-saat akhir dimaklumkan pemilihan itu ditunda semalam.

“Kami hanya memaklumkan pada ahli melalui telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS) sahaja, namun pada yang tidak mempunyai telefon mereka tidak dapat mengetahuinya,” katanya.

Beliau berkata, PKR cabang itu akan mengorak langkah di kawasan ini dengan mengaturkan pelbagai strategi bagi menguatkan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini.

Turut hadir ke pusat pemilihan cabang itu ialah Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Kedah, Datuk Wan Salleh dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kedah, Azman Nasaruddin.

Antara calon yang bertanding bagi jawatan Ketua PKR Cabang Pendang ialah Muda Salleh dan Rashdan Ismail, Timbalan Ketua, Jaafar Shaari dan Rozee Mohamad manakala Naib Ketua terdiri daripada Umam Din Jom dan Mohamad Imran Abdul Manaf.

Sinar Harian difahamkan Ketua AMK Cabang itu dimenangi tanpa bertanding oleh Mohd Zaki Abd Razak.


Sinar Harian

g

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails